suria

Dadah: Sepasang Kekasih Dijatuhi Hukuman Gantung Sampai Mati

JOHOR BAHRU: Sepasang kekasih dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, Rabu, selepas didapati bersalah mengedar dadah di sebuah apartment di Larkin Perdana, dekat sini, dua tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu terhadap P.Krishnan Murthy dan S. Gayathri, kedua-duanya 31 tahun, setelah mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Menurut Mohd Sofian, pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa dadah itu milik seorang individu bernama Gunalan yang didakwa kawan kepada abang Krishnan Murthy dan turut gagal membuktikan yang Gunalan mempunyai akses kepada rumah tertuduh.


Mengikut kertas pertuduhan, Krishnan Murthy dan Gayathri didapati mengedar dadah berbahaya campuran heroin dan monoacethylmorphines sebanyak 272.14 gram di alamat 19-08, Blok C, Apartment Sri Impian, Larkin Perdana, pada 25 Mei 2014, kira-kira 9.15 malam.


Krishan Murthy dan Gayathri juga didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 112.96 gram pada hari, tempat dan waktu yang sama.

Atas dua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafiah Saini manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly dan Arif Aizuddin Masrom.


Artikel Sebelum

Artikel Lain