suria

Insiden Semporna: Penjenayah Menyusup Ikut Perairan Antarabangsa

Bot ronda Esscom sentiasa mengawal kawasan perairan Sabah. - The Star

KOTA KINABALU: Kumpulan penjenayah yang terlibat dalam insiden berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan Malaysia di Semporna, dipercayai menyusup masuk ke Sabah menggunakan perairan antarabangsa.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, kumpulan penjenayah itu datang dari luar sempadan Malaysia.

"Pihak polis masih mencari lebih banyak maklumat," katanya pada sidang media di sini, Sabtu.

Menurut Abdul Rashid, dua lelaki dan kemungkinan seorang tebusan dilaporkan hilang ekoran insiden pertempuran itu yang menyaksikan tiga penculik terbunuh.

Seorang anggota Platun Harimau Pasukan Gerakan Am (PGA) turut cedera dan seorang mangsa diselamatkan, manakala dua ahli kumpulan penjenayah terbabit ditahan susulan insiden yang berlaku antara pukul 9 malam dan 10 malam pada Khamis lalu.

"Kedua-dua suspek masih disiasat," ujarnya.

Selain itu, Abdul Rashid berkata, pihaknya bekerjasama dengan pihak berkuasa Filipina berhubung kes tersebut.

Ditanya sama ada kemungkinan kumpulan terbabit akan membalas dendam, Abdul Rasih berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang maklumat yang mengaitkan dengan perkara itu.

"Pasukan keselamatan kita melibatkan pelbagai agensi termasuk Pemerintah Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), sentiasa berjaga-jaga dan bersedia untuk berdepan sebarang kemungkinan," katanya.


Semporna, Abdul Rashid Harun, Esscom

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain