suria

PM Saran JKR Perluas Skop

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menandatangan plak perasmian Menara Jabatan Kerja Raya di Jalan Sultan Salahuddin, Rabu. Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusuf (kanan).

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) disaran supaya memantapkan bidang tugas termasuk melakukan penyelidikan baharu bagi membantu kerajaan menyediakan kemudahan asas untuk rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebagai agensi teknikal, JKR boleh memainkan peranan untuk memastikan projek-projek seperti jalan raya, infrastruktur pendidikan, termasuk rumah mampu milik dibina dengan lebih cepat menggunakan kos lebih rendah.

"Saya berharap sebagai jabatan teknikal, JKR tidak melihat kerjanya membina bangunan saja. Walaupun itu merupakan tugas utama, tetapi kita mesti melihat apakah kaedah yang kita gunakan itu boleh membantu kepada pencapaian apa jua KPI lain untuk negara kita.

"Sama ada membantu kearah pemilikan rumah mampu milik, pendidikan luar bandar menjadi lebih selesa, bangunan yang lebih moden kerana kita mempunyai teknologi terbaik dan terkini serta tidak takut nak cuba usahakan sesuatu yang baharu," katanya pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Menara Kerja Raya milik Kementerian Kerja Raya di sini.


Perdana Menteri merakamkan gambar Menara Kerja Raya pada majlis perasmiannya pada Rabu. -GLENN GUAN/The Star

Tambah Najib, kejayaan pembinaan Menara Kerja Raya setinggi 37 tingkat itu perlU dilihat sebagai simbolik kepada pembangunan negara.

"JKR bukan sekadar jabatan teknikal tapi kena menjadi ejen perubahan. Ini semangat kita apabila melihat menara yang gah seperti ini.

"Bukan sekadar bangunan tapi cara berfikir. Juga kesan daripada pembinaan itu boleh membawa kepada limpahan kebaikan kepada dimensi yang lain," katanya.

Menara Kerja Raya yang siap dibina pada 15 April tahun lepas dengan kos RM309 juta itu menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak termasuk memperoleh penarafan Indeks Bangunan Hijau tahap platinum pada 13 Jun lalu.

Menara yang mempunyai ketinggian 175 meter itu dibina menggunakan reka bentuk 'diamond in the city' dengan penggunaan fasad kaca segi tiga sebagai tarikan utama dan menerapkan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan mempunyai ciri-ciri bangunan hijau termasuk dari segi kecekapan tenaga kerja, kecekapan air dan penggunaan bahan mesra alam.

Ia terletak di Jalan Sultan Salahuddin dan menjadi ibu pejabat JKR.

JKR, Najib

Artikel Lain