suria

Kes Tembak Aminulrasyid: Mahkamah Tetap Tarikh Permohonan Rayuan Korporal

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menetapkan tarikh pada 20 Januari untuk mendengar permohonan daripada anggota polis, Korporal Jenain Subi (gambar) bagi mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes tembakan pada enam tahun lalu yang mengorbankan remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah.

Timbalan Pendaftar, Suriawati Syawal menetapkan tarikh itu selepas berbincang dengan peguam ketiga-tiga pihak pada Rabu.

Peguam Bela Kanan Persekutuan, Normastura Ayub mewakili kerajaan, peguam bela Shahid Adli Kamarudin sebagai wakil keluarga Aminulrasyid dan peguam bela Zulkepli Omar bagi pihak Jenain Subi.

Ketika ditanya oleh pemberita, Normastura berkata, mahkamah menetapkan tarikh 20 Januari untuk pendengaran permohonan bagi mengemukakan rayuan oleh anggota polis tersebut.

"Selepas pendengaran permohonan, mahkamah akan menetapkan tarikh untuk pendengaran rayuan," katanya.

Pada 24 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menerusi hakimnya, Datuk Ahmad Zaini Ibrahim mengarahkan pembayaran ganti rugi sebanyak RM414,000 kepada keluarga Aminulrasyid selepas beliau mendapati Jenain Subi bertanggungjawab atas kematian remaja itu pada 26 April 2010.

Ibu remaja itu, Norsiah Mohammad, 67, dan kakak sulungnya Nor Azura, 46, selaku plaintif menamakan Koperal Jenain Subi, ketua polis daerah Shah Alam, bekas ketua polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini Ketua Polis Negara), ketua polis negara dan kerajaan Malaysia sebagai defendan.

Saman sivil itu difailkan bagi menuntut ganti rugi hampir RM50 juta atas dakwaan kematian Aminulrasyid akibat luka tembakan di kepala berpunca daripada kecuaian Jenain.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memerintahkan keluarga Aminulrasyid dibayar pampasan sebanyak RM150,000 bagi kesakitan dan penderitaan, RM150,000 sebagai ganti rugi teruk dan teladan, RM10,000 bagi perkabungan, RM4,800 bagi kos pengebumian dan RM100,000 bagi salah laku kepada masyarakat umum.

Selain itu, Ahmad Zaidi turut memerintahkan kesemua defendan membayar kos berjumlah RM50,000 kepada plaintif.

Aminulrasyid Amzah, Jenain Subi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain