suria

1,400 Kura-Kura Cuba Diseludup - APMM

Gambar hiasan.

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang berpangkalan di sini merampas kira-kira 1,400 kura-kura bernilai RM42,000 yang cuba diseludup ke negara jiran pagi Rabu.

Ketua Penguatkuasa APMM Kota Kinabalu, Laksamana Pertama Maritim, Adam Aziz berkata, pihaknya pada mulanya menahan sebuah bot di perairan antara Pulau Sapi dan Pulau Manukan kira-kira pukul 3 pagi Rabu.

"Bot berkenaan dengan enam awak-awak berusia antara 23 dan 44 tahun sedang bergerak dalam gelap menuju Pulau Mangalum.

"Hasil pemeriksaan mendapati ada beberapa bakul disembunyi di bawah petak ikan yang mengandungi 1,400 kura-kura. Sebanyak 200 daripada kura-kura berkenaan telah mati," katanya kepada pemberita di sini Rabu.

Beliau berkata, kura-kura berkenaan dikatakan diperoleh daripada kawasan Kinarut dan dipunggah di persisir pantai berhampiran Anjung Senja, Kota Kinabalu, sebelum dihantar ke dalam bot asing yang menunggu di perairan Pulau Mangalum.

"Haiwan-haiwan itu dipercayai bakal dijadikan hidangan eksotik di negara jiran (Vietnam) berkenaan," kata Adam.

Kura-kura itu akan diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk tindakan lanjut. - Bernama


APMM, kes penyeludupan, kura-kura

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain