suria

Bela Nasib Etnik Rohingya Bukan Campur Tangan - Zahid

KUALA LUMPUR: Pembelaan terhadap etnik Rohingya yang dizalimi di Myanmar bukan soal campur tangan Malaysia di negara itu, sebaliknya ia adalah atas dasar kemanusiaan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri menegaskan bahawa sikap mengambil berat itu adalah atas dasar sikap kepedulian universalisme yang ditunjukkan oleh pemimpin dan rakyat Malaysia.

"Kita mahu masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah mengambil tindakan terhadap tentera di Myanmar.

"Kita merasakan bahawa rakan-rakan kita (Rohingya) harus dibela (bukan sahaja) oleh kita, tetapi juga oleh masyarakat antarabangsa keseluruhannya," katanya ketika berucap pada 'Perhimpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya' di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta pemimpin-pemimpin politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri turut mempersoalkan peranan pemimpin Myanmar yang telah menerima anugerah keamanan tetapi masih berlaku penindasan dan kezaliman terhadap etnik Rohingya.

"Kita mahu bertanya kepada pemimpin yang berada di negeri itu (Myanmar), yang menerima anugerah yang tertinggi dari segi keamanan, apa yang dilakukan di negeri itu untuk mewujudkan keamanan?" katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid menegaskan bahawa perjuangan dan pembelaan terhadap kesengsaraan etnik Rohingya sentiasa berterusan dan tidak akan terhenti.

"Ini bukan hari pertama dan bukan hari terakhir, kita rakyat Malaysia akan bangkit untuk perjuangkan nasib rakyat Rohingya," katanya. - BERNAMA

Rohingya, Ahmad Zahid Hamidi

Artikel Berikut

Tun M Hadiri Persidangan DAP

Artikel Lain