suria

Suspek Kes Bunuh Dua Beranak Ditemui Tergantung Di Sel

ISKANDAR PUTERI: Suspek utama kes pembunuhan kejam dua beranak di Johor Baru Selatan ditemui tergantung di sel pusat reman Balai Polis Ulu Choh.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintendan Noor Hashim Mohamad (gambar) mengesahkan kematian suspek kes bunuh yang berusia 20 tahun pada Jumaat.

Beliau berkata, lelaki itu ditemui warden pada pukul 8 pagi dalam keadaan tergantung setinggi 2.1 meter dari lantai sel dengan kain diikat pada sebuah tingkap kecil yang terbuka kira-kira lima jam selepas kejadian itu.

"Selepas itu, dua warden bergegas ke sel dan memotong kain tersebut bagi melepaskan suspek yang berada dalam keadaan lemah," katanya kepada The Star.

Supt Noor Hashim berkata, suspek telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) dan telah disahkan meninggal dunia.

Beliau berkata, suspek itu terlibat dalam kes pembunuhan baru-baru ini dan telah didakwa pada 29 September sebelum dibawa ke pusat tahanan reman yang terletak di daerah Iskandar Puteri.

Pada 21 September lalu, seorang ibu bersama anak perempuannya berusia 16 tahun dibunuh dengan kejam di bilik rumah mereka di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, sekitar pukul 10.30 pagi.

Mangsa dikenali sebagai M. Mariayee, 56, dan anak perempuan C. Durga Devi ditemui mati dengan kesan tikaman di badan mereka.

Polis menahan tujuh suspek pada hari yang sama, manakala seorang lagi ditangkap pada pukul 3 pagi hari berikutnya (22 September).

Dua daripada mereka, berusia 20 tahun telah didakwa di Mahkamah Majistret Johor Baru mengikut Seksyen 302 kerana membunuh pada 29 September lalu.

Salah seorang daripadanya dipercayai lelaki yang membunuh diri di sel pusat tahanan reman ini.

bunuh diri, gantung diri, kes bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain