suria

Umno Perlu Risau, Warisan Bakal Beri Tentangan Hebat - Ikon Swinas

KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) bakal memberi tentangan hebat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dan Umno serta Barisan Nasional (BN) perlu risau mengenai situasi itu.

Ikon Sekretariat Mahasiswi Nasional (Swinas) 2016, Noraini Januhar berkata masyarakat, khususnya golongan muda di Sabah kini teruja untuk membuat pertimbangan bagi memilih parti politik pada PRU akan datang.

“Anak muda di Sabah sedang bersemangat untuk melihat parti mana yang memperjuangkan nasib rakyat Sabah. Gerakan memilih itu sudah dimulakan.

“Umno perlu risau. Budaya politik di Sabah dengan Semenanjung sangat berbeza sebab kami banyak suku kaum,” katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Jumaat.

Pelajar Sarjana Ekonomi Islam (Kewangan Islam) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini diminta mengulas mengenai pandangannya terhadap Warisan yang kini diterajui bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal.

Noraini yang berasal dari Sabah berkata, Umno perlu memberi perhatian terhadap banyak perkara untuk mengekalkan kemenangan di Sabah, tetapi yang paling penting adalah hak sesuatu kaum dan ekonomi mereka.

“Contohnya Datuk Seri Shafie dari suku Bajau, jadi kebanyakan suku itu akan menyokongnya. Itu permainannya, bergantung kepada suku kaum.

“Rakyat di sana percaya pemimpin mengikut suku kaum ini akan berjaya menjaga rakyat,” katanya.

Selain kawasan Semporna yang dikuasai Shafie, beliau menjangka kawasan lain yang mampu ditawan bekas pemimpin Umno itu adalah Tawau, Lahad Datu dan Kunak. 

“BN perlu kerja keras di Sabah sebab titik kemenangan BN adalah di Sabah dan Sarawak,” katanya yang menganggap isu di Sabah terlalu banyak dan perlu diteliti kepimpinan Umno di peringkat akar umbi.


Swinas, Warisan, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain