suria

Pengubahan Wang Haram: SPRM Tahan Semula Pegawai Bergelar 'Datuk'

MELAKA: Pegawai kanan kerajaan bergelar 'Datuk' yang dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Jumaat, ditahan semula bagi membantu siasatan berhubung aktiviti pengubahan wang haram melibatkan nilai jutaan ringgit.

Menurut sumber SPRM, lelaki berusia 55 tahun itu yang dibebaskan pada 9.25 pagi semalam selepas ditahan reman empat hari, dipanggil semula ke Pejabat SPRM di sini petang Jumaat, sebelum dibebaskan pada jam 11 pagi Sabtu.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA)," kata sumber itu kepada pemberita di sini, Sabtu.

Suspek yang lebih tiga tahun bertugas sebagai pegawai kanan itu sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

SPRM turut membekukan akaun bank milik pegawai awam itu yang mengandungi wang jutaan ringgit, disyaki diraih menerusi aktiviti pengubahan wang haram.

Terdahulu, lelaki berkenaan yang memakai baju kemeja putih dan berseluar hitam dilihat meninggalkan perkarangan Pejabat SPRM pada pukul 11.07 pagi. - BERNAMA

SPRM, Datuk, pengubahan wang haram

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain