suria

Video Viral: Kes Rompakan Bersenjata Di Cheras - Polis

Dua suspek kes rompakan bersenjata masih lagi bebas.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan video satu rompakan bersenjata yang menjadi viral berlaku di Taman Midah, Cheras pada Khamis.

Rakaman berdurasi 51 saat itu menunjukkan dua lelaki menunggang motosikal merompak dua mangsa sebelum mendekati seorang pemandu sebuah kereta Honda kira-kira pukul 2 petang di Jalan Midah Tengah 2.

Bunyi teriakan dan hon kereta jelas kedengaran dan salah seorang perompak dilihat memukul kereta tersebut, manakala kon trafik dilempar ke arah seorang lagi suspek.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, insiden berlaku kira-kira pukul 2 petang Khamis.

"Mangsa adalah seorang wanita berusia 19 tahun yang sedang berbual dengan rakannya di luar rumah di Jalan Midah Tengah 2, Taman Midah, Cheras.

"Dua lelaki menunggang sebuah motosikal mendekati mereka, mengacukan parang dan meminta wang tunai dan barang berharga," kata Chong.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa menurut arahan suspek dan menyerahkan telefon pintar I-Phone 5, sebuah telefon bimbit Nokia dan wang tunai sebanyak RM210.

"Salah seorang penumpang kereta Honda Insight itu keluar dan mengambil kon trafik serta melemparkannya ke arah suspek.

"Suspek lain melibas parang ke arah pemandu kereta dan menetak tangan kanan mangsa," katanya.

Kedua-dua perompak berjaya meloloskan diri tetapi tertinggal beg sandang dan jam tangan.

Kok Sin berkata, bag sandang itu mengandungi spanar dan pemutar skru.

"Mangsa tidak dapat mengecam wajah suspek kerana mereka memakai topi keledar dengan cermin gelap," katanya.

Motosikal yang ditunggangi suspek juga menggunakan plat pendaftaran palsu bernombor WXD 5357, milik sebuah Proton Saga FLX.

Sehubungan itu, Kok Sin meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi hotline 03-2115 9999 atau hadir ke balai polis berhampiran.

Artikel Lain