suria

Loceng Badaruddin Cuit Hati Perwakilan

KUALA LUMPUR: Kepetahan veteran Umno, Tan Sri Badaruddin Amiruldin setiap kali mengendalikan Perhimpunan Agung Umno (PAU) sering dinanti-nantikan perwakilan dan pemerhati.

Malah gaya usikkan Pengerusi Tetap Umno itu ketika mahu menghentikan ucapan panjang pembahas sebelum ini turut berjaya ‘membuka mata’ perwakilan yang hampir terlena.

Kali ini, Badaruddin tampil kelainan apabila beliau menggunakan loceng digital berbanding loceng manual yang biasa digunakan bagi memberi isyarat apabila tamatnya masa untuk berbahas.

Loceng baharu yang digunakan Badaruddin itu kedengaran sama dengan bunyi loceng nombor giliran di premis perkhidmatan seperti bank dan pejabat pos.

“Nak buat macam mana, dah depa (mereka) bagi loceng ni. Saya tekanlah,” katanya sambil disambut gelak tawa perwakilan yang memenuhi Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Demikian jelas Badaruddin mengenai loceng baharu yang digunakannya itu selepas perwakilan tidak henti-henti ketawa apabila beliau menekannya.

Malahan, perwakilan Melaka, Mustafa Musa turut mengusik Badaruddin apabila ucapannya ‘diganggu’ dengan loceng berkenaan.

“Anak siapa pula hilang ni?” kata Mustafa apabila loceng amaran kedua diberikan kepadanya supaya berhenti berucap.

Badaruddin, Umno, loceng

Artikel Lain