suria

Polis KK Tumpas Sindiket Dadah

Chandra (dua dari kanan) bersama rampasan dadah dan wang tunai yang ditemui dalam operasi membanteras sindiket dadah di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis di sini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah apabila menahan tiga lelaki dan merampas 1.2 kilogram (kg) syabu bernilai RM156,000.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M. Chandra berkata, seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan sekitar pukul 10 pagi, pada Rabu.

“Selepas disoal siasat, polis menjumpai tujuh paket kecil disyaki berisi syabu yang disembunyikan di motosikal suspek,” katanya pada Jumaat.

Selepas ujian dijalankan, suspek didapati positif dadah.

Susulan penangkapan suspek pertama, polis menyerbu lokasi seterusnya dan menemui 13 paket syabu bernilai RM43,000 yang disimpan di dalam peti besi.

Keesokan harinya, dua lelaki berusia 42 dan 45 tahun telah ditahan di pusat refleksologi di sekitar pusat bandar.

Serbuan polis di pejabat berdekatan kompleks membeli-belah di sini juga menemui dadah yang disorok di siling. Selain itu, dua kenderaan dan sebuah basikal dirampas.

Bagaimanapun, ujian air kencing mendapati dua lagi suspek negatif dadah tetapi mempunyai rekod terbabit dalam penyalahgunaan dadah dan memiliki DVD cetak rompak.

Chandra berkata, dadah tersebut dipercayai dibawa masuk ke Sabah dari Semenanjung melalui perkhidmatan kurier.

“Kami percaya, mereka sudah menjalankan aktiviti ini selama enam bulan, dan mempunyai rakan subahat mengedarkan dadah,” kata beliau.

Di Miri, kerjasama antara polis tempatan dan Brunei telah membongkar rangkaian pengedaran dadah di sempadan dan menangkap seorang lelaki, pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Khoo Leng Huat berkata, lelaki dalam lingkungan 20-an dijumpai memiliki beribu jenis dadah berbentuk pil, termasuk ketamine dan ecstasy, termasuk satu kg ganja mentah.

Selain itu, polis juga merampas sejumlah wang dan peralatan yang digunakan dalam urusan perniagaan dadah ini.





dadah, Kota Kinabalu, polis

Artikel Lain