suria

Jalan Penghubung Ke Teluk Bahang Dibuka Sepenuhnya

Keadaan sebahagian Jalan Teluk Bahang yang runtuh akibat hujan lebat pada 7 November lalu. -fotoBERNAMA
GEORGE TOWN: Jalan utama menghubungkan Teluk Bahang dengan pusat bandar yang ditutup sejak 7 November lepas dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan, Jumaat.

Ketua Menteri Lim Guan Eng yang membuat lawatan ke kawasan itu mengucapkan tahniah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri yang berjaya menyiapkan kerja-kerja pembaikan dan pembinaan semula struktur jalan yang runtuh dalam masa yang singkat.

"Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada Pengarah JKR negeri Salleh Awang. Walaupun melibatkan cerun bukit kita boleh siapkan dalam masa seminggu.

"Kami fikir mungkin akan memakan masa berbulan-bulan tapi akhirnya siap dalam masa seminggu. Ini membuktikan sekiranya jurutera diberikan peluang untuk menjalankan kerja, beri tumpuan ke atas kerja...apa-apa pun boleh dilaksanakan," katanya kepada pemberita.

Sebelum ini, jalan itu hanya dibuka kepada penunggang motosikal mengikut waktu yang ditetapkan, dengan pengawasan pihak berkuasa.

Kerja-kerja pembaikan di kawasan tanah runtuh itu bermula pada 9 November lepas.

Pada 7 November, hujan yang berterusan di negeri ini sejak tengah malam menyebabkan berlaku tanah runtuh dan runtuhan sebahagian daripada jalan itu.

Kejadian itu menyebabkan penduduk Teluk Bahang terputus hubungan dengan pusat bandar kerana ia merupakan jalan utama menghubungkan bandar itu ke pusat bandar raya, selain turut mengakibatkan beratus-ratus orang terkandas, antaranya calon Sijil Pelajaran Malaysia dan golongan pekerja.

Lim turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof atas keprihatinannya memberikan peruntukan segera sebanyak RM700,000 untuk membaiki jalan berkenaan.

Beliau berkata pemantauan jalan dan cerun di sepanjang Jalan Balik Pulau - Teluk Bahang dan Batu Ferringhi akan dijalankan secara konsisten dan berterusan.

Dalam pada itu, Lim berkata kerajaan negeri bercadang untuk membina jalan berkembar di belakang bukit untuk menghubungkan Batu Ferringhi dan Teluk Bahang sebagai jalan alternatif jika berlaku kejadian tanah runtuh pada masa akan datang.

"Reka bentuk untuk jalan berkembar ini sudah ada sejak 30 tahun lalu. Namun, pada masa itu tak ada tekad untuk bina. Kami akan bina jalan berkembar ini, kalau ada masalah pada jalan ini (Jalan Teluk Bahang) ada jalan alternatif," katanya.
Lim Guan Eng, Teluk Bahang

Artikel Sebelum

Tun M Sering Ubah Taktik Politik

Artikel Berikut

Artikel Lain