suria

Johor Peruntuk Lebih RM1.6 Bilion Untuk Bajet Negeri 2017

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. -fotoTHESTAR
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri pada Khamis mengumumkan peruntukan sebanyak RM1.609 bilion bagi Bajet Johor 2017 bertemakan 'Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera'.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan itu berdasarkan jangkaan kutipan hasil negeri pada tahun depan meningkat sebanyak 12.86 peratus berbanding anggaran hasil dalam Bajet 2016.

Beliau berkata dengan pertambahan hasil itu, ini bermakna Bajet 2017 mempunyai lebihan sebanyak RM1.3 juta - satu rekod yang dicatat buat kali ketujuh berturut-turut sejak 2011.

Katanya daripada keseluruhan bajet, sebanyak 47 peratus atau RM763.3 juta disediakan untuk pembangunan manakala selebihnya untuk perbelanjaan mengurus (tidak termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan).

"Perbelanjaan mengurus ini terdiri daripada emolumen sebanyak RM479.22 juta; perkhidmatan dan bekalan (RM244.61 juta); pembelian aset jabatan (RM20 juta); dan perbelanjaan-perbelanjaan lain (RM4.94 juta)," katanya ketika membentangkan Bajet Johor 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor, di sini Khamis.

Mohamed Khaled berkata bajet itu dirangka dengan tiga misi utama iaitu untuk membangun kemakmuran material, mesejahteraan sosial dan memperkasa potensi insan.

Katanya, ia juga merupakan hasil pemikiran serius pelbagai pihak yang digembleng dalam setiap pertimbangan inisiatif yang dicadangkan.

"Semua cadangan perbelanjaan yang dikemukakan adalah dalam kemampuan kewangan kerajaan negeri. Ini bermakna, ia secara realisitiknya, telah dirangka dengan mengambil kira kemampuan sebenar kerajaan.

"Kerajaan negeri mengambil pendirian, disiplin fiskal yang tegas dan berhemah, amat perlu dalam menguruskan ekonomi Johor yang berjaya," katanya.

Beliau berkata menerusi bajet itu, kerajaan negeri akan memastikan ekonomi tumbuh dengan pesat, inklusif dan pintar sekali gus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Mohamed Khaled berkata kerajaan negeri juga berikrar bahawa bajet ini boleh menangani kesenjangan dan kos sara hidup serta mewujudkan prasarana awam terbaik untuk kebaikan umum.

"Prestasi ekonomi kita yang memuncak melangit tidak akan bermakna jika kualiti hidup merudum membumi.

"Rakyat mahu kehidupan yang baik, selesa, bermutu dan bermaruah. Sekolah mesti berfungsi, kemudahan asas air, elektrik dan jalur lebar mesti universal.

"Kemudahan kesihatan harus dalam kelas termaju. Alam sekitar mesti dipulihara. Sistem sosial kita mesti berfungsi agar yang miskin dibantu dan yang memerlukan diupayakan. Kesejahteraan sosial adalah sangat kritikal untuk kewujudan masyarakat terbaik," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain