suria

Purata Nilai Gred STPM Melonjak Sejak Penjenamaan Semula Tingkatan Enam

KUALA LUMPUR: Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) melonjak sejak penjenamaan semula Tingkatan Enam pada 2012.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata, trend peningkatan PNGK itu dapat dilihat dalam tempoh empat tahun dengan PNGK pada 2012 ialah 2.33 sebelum melonjak kepada 2.54 (2013); 2.62 (2014) dan 2.65 (2015). 

"Ini menunjukkan penjenamaan semula Tingkatan Enam telah berjaya meningkatkan kualiti dan pembelajaran," katanya menjawab soalan Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Budiman ingin tahu kesan positif yang dicapai di bawah program penjenamaan semula Tingkatan Enam.

Kamalanathan berkata sijil STPM yang diperoleh pelajar juga diiktiraf oleh Universiti Cambridge, United Kingdom dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yangmemudahkan mereka melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.

"Lebih membanggakan lulusan STPM juga diterima bagi kemasukan di semua universiti Komanwel seperti Universiti of Cambridge, Oxford University, University of Auckland dan lain-lain universiti utama," katanya.

Di samping itu, Kamalanathan berkata pendaftaran murid ke Tingkatan Enam rendah juga bertambah kepada 57,485 tahun ini berbanding 51,276 pada tahun lalu.

Katanya data enrolmen murid yang meninggalkan Tingkatan Enam selepas mendaftar juga menurun sebanyak 1.35 peratus bagi kohort 2014 hingga 2015 berbanding kohort 2013 hingga 2014.-- Bernama
STPM, P. Kamalanathan

Artikel Lain