suria

Permohonan Najib Batal Perenggan Dalam Pembelaan Dr Ling Pada 26 Januari

Ling Liong Sik.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini Isnin menetapkan 26 Januari tahun depan untuk mendengar permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membatalkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Nik Aliah Hanafi, mewakili perdana menteri ketika kes itu disebut untuk pengurusan.

Nik Aliah ketika dihubungi pemberita mengesahkan tarikh itu dan turut memaklumkan bahawa kedua-dua pihak telah menghantar dokumen berkaitan permohonan tersebut kepada mahkamah.

Pada 27 Oktober 2015, perdana menteri memfailkan saman terhadap Dr Ling atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya yang disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Okt tahun lepas.

Najib menyaman Dr Ling selaku defendan, antara lain memohon perintah supaya Dr Ling menyiarkan kenyataan memohon maaf dalam akhbar atau majalah yang ditentukan oleh Najib dalam bentuk dan terma yang ditentukan oleh beliau.

Najib juga memohon perintah injunksi untuk menghalang Dr Ling atau kakitangannya atau ejennya daripada terus menyiarkan apa-apa kenyataan atau menuturkan kata-kata yang berbaur fitnah terhadapnya.

Beliau memohon ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, kos dan relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Najib mendakwa Dr Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti di sini, yang disiarkan menerusi artikel dalam sebuah portal berita pada 3 Oktober 2015.

Najib berkata perkataan fitnah itu, antara lain membawa maksud bahawa beliau (Najib) menyalahgunakan dana kerajaan dengan memasukkannya ke dalam akaun peribadi untuk kepentingan peribadi, menyalahgunakan dana syarikat pelaburan milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), serta tidak kompeten dan tidak layak untuk menjadi ketua kerajaan atau perdana menteri Malaysia.

Pada 18 Julai lepas, mahkamah membenarkan permohonan Najib untuk mengetepikan afidavit bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang difailkan bagi menyokong permohonan Dr Ling untuk membatalkan saman perdana menteri. - BERNAMA 

Najib Tun Razak, Ling Liong Sik

Artikel Berikut

Parkir HSA Dinaiki Air Pasang

Artikel Lain