suria

Bicara Kes Kematian Menantu TPM 21 Februari 2017

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pusat pakar pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd yang didakwa berhubung kematian menantu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semasa mendapatkan rawatan gigi ditetapkan lima hari bermula 21 Februari 2017.

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek memaklumkan kesemua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak peguam bela.

Pada 12 Ogos lepas, pusat pergigian itu yang diwakili pengarah syarikatnya Dr Wong Yen Ling mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Dr Wong selaku orang kena saman (OKS), didakwa sebagai pemegang lesen didapati telah gagal memastikan Dr Ting Teck Chin iaitu orang yang memberikan perkhidmatan anestesia (bius) terhadap Syed Alman Zain mempunyai kelayakan anestesiologi. 

Klinik itu didakwa sebagai pemegang lesen telah gagal memastikan individu-individu yang berkhidmat untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) dan perkhidmatan anestesia (bius) secara IV Sedation ke atas Syed Alman Zain mempunyai kelayakan berbuat demikian.

Premis tersebut juga didakwa telah gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa pesakit dengan tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas serta gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) satu salinan semua rekod perubatan Syed Alman Zain semasa dia dipindah ke sana.

Klinik tersebut turut didakwa telah gagal menyimpan dan menyenggara suatu daftar kakitangan, memastikan kehendak perlebelan ubat dipatuhi serta tidak mengambil langkah yang cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Ia juga didakwa telah membuat peluasan fungsi yang menjejaskan standard perkhidmatan yang disediakan dengan menyediakan perkhidmatan anestesia ke atas Syed Alman Zain tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan.

Klinik itu turut didakwa sebagai pemegang lesen didapati telah menggunakan premis secara berlawanan dengan lesen premis yang dikeluarkan dengan menyediakan perkhidmatan anestesia ke atas Syed Alman Zain.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di klinik itu, Lot 62  and  64, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun lalu.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau tiga bulan penjara atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain