suria

Saham MRLSB Dipindahkan Kepada MoF Bulan Lepas

KUALA LUMPUR: Saham Malaysia Rail Line Sdn Bhd (MRLSB) telah dipindahkan kepada Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan pada 12 Oktober 2016, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

MRLSB, merupakan syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan untuk memiliki dan mengendalikan Laluan Kereta Api Pantai Timur.

"Bagaimanapun, mengikut Akta Syarikat 1965 ketika ini, sebuah syarikat tidak perlu menyerahkan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi pendaftaran sebarang pemindahan sahamnya (Borang 32A).

"Oleh itu, sebarang perubahan pemilikan (berdasarkan sebarang pemindahan saham) tidak akan ditunjukkan melalui sistem SSM sehingga syarikat berkenaan melaporkan pulangan tahunan," katanya melalui catatan terbaru dalam Facebook beliau pada Khamis.

Beliau mengulas mengenai Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan yang mengatakan bahawa MRLSB, syarikat tujuan khas ditubuhkan oleh kerajaan untuk memiliki dan mengendalikan Laluan Kereta Api Pantai Timur, adalah milik dua individu, bukannya kerajaan.

Abdul Rahman berkata dua pegawai Kementerian Kewangan yang dicalonkan  sebagai pengarah pertama dan pemegang saham pertama MRLSB itu adalah bagi memudahkan penubuhan awal MRLSB.

Beliau berkata dua pegawai itu ialah Dr Yusof Ismail dan Ahmad Suhaimi Endut.

Rahman Dahlan, Rafizi Ramli

Artikel Berikut

Artikel Lain