suria

Serbuan Dadah, Jumpa Bom

ACP R. Ravichandran bersama para pegawainya menunjukkan gambar mortar 60mm blind yang dijumpai di rumah seorang pengedar dadah di Bagan Seberang Kuala Kurau selepas sidang media di IPK Perak pada Rabu. -fotoBERNAMA

IPOH: Polis menemukan sebutir bom mortar yang masih aktif ketika menyerbu sebuah rumah dipercayai milik ketua sindiket pengedaran dadah di Kuala Kurau awal pagi Selasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP R.Ravi Chandran berkata bom mortar jenis '60mm blind' itu ditemukan dalam serbuan kira-kira 4.30 pagi di Bagan Seberang.

Katanya unit bom mengambil masa sekurang-kurangnya tiga jam untuk membuat persiapan bagi meletupkan bom itu di lokasi sama kerana jika dibawa keluar ia sangat berbahaya serta boleh mengancam keselamatan orang awam.

"Kita sedar pengedar dadah tidak akan teragak-agak untuk melengkapkan diri mereka dengan senjata api atau bahan letupan demi untuk mengelak daripada pihak berkuasa," katanya dalm sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini, Rabu.

Ravi Chandran berkata kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Menurut Ravi Chandran selain penemuan bom, polis turut menemukan dadah jenis heroin seberat 1.2 kilogram (kg) serta syabu seberat 13 gram bernilai RM19,630 dan menahan seorang lelaki berumur 47 tahun yang mempunyai 11 rekod kesalahan lampau.

Katanya berdasarkan maklumat daripada tangkapan pertama, polis membuat serbuan kedua pada hari sama di Taman Seri Kurau dan menahan seorang wanita berumur 23 tahun serta merampas dadah jenis syabu seberat 97.77gram bernilai RM6,843.

Tidak sampai sejam kemudian, polis membuat satu lagi serbuan di sebuah rumah di Jalan Siakap, Bagan Serai dan menahan seorang lelaki berumur 49 tahun yang mempunyai 10 rekod kesalahan lampau.

"Dalam serbuan ini, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5,948 termasuk 350 biji Eramin 5; 16.94 gram Heroin dan tujuh biji pil Ecstacy.

"Ujian saringan awal air kencing yang dibuat terhadap ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah jenis Amphetamine dan semuanya direman selama tujuh hari mulai hari ini," katanya.

Kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati, katanya.

Menurut Ravi Chandran nilai keseluruhan rampasan dadah dalam kesemua serbuan dianggarkan RM32,422 dan jumlah dadah yang dirampas boleh diedarkan kepada 1,500 penagih di kawasan Kerian.

Bom Mortar, Dadah, PDRM

Artikel Lain