suria

Tiga NGO Buat Laporan Polis Terhadap Individu Didakwa Hina Sultan Johor

Abdul Rani Kulup Abdullah
KUALA LUMPUR: Tiga badan bukan kerajaan (NGO) membuat tiga laporan polis terhadap Satees Muniandy, Setiausaha Peribadi kepada Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Dr P.Ramasamy, yang didakwa menghina Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Facebook.

NGO berkenaan ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) dan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM).

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili tiga NGO itu berkata laporan polis itu dibuat setelah melihat kenyataan yang dimuat naik di laman sosial oleh Satees yang didakwa sebagai kenyataan biadap.

"Kami mengharapkan pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat kesahihan kenyataan itu dan ambil tindakan sewajarnya kerana tindakan Satees itu sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini Isnin.

Pada Khamis (3 Nov) lepas Sultan Ibrahim bertitah di Majlis Himpunan Bangsa Johor menegur seorang bekas pemimpin negara yang terkenal di dunia kerana menyokong demonstrasi jalanan.

"Di negeri Johor, saya tidak akan benarkan mana-mana pihak menganjurkan demonstrasi jalanan kerana ia akan mengganggu ketenteraman awam dan memberikan imej yang tidak baik.

"Oleh itu, saya ingatkan kepada semua NGO di Johor dan semua bangsa Johor supaya jangan mengikut budaya yang sesat ini," titah baginda.

Susulan titah baginda itu satu status dimuat naik dalam akaun Facebook dipercayai milik Satees pada hari yang sama, memberi komen mengenai larangan itu.

Artikel Lain