suria

Program GiatMara Periksa Pendawaian Elektrik Rumah Percuma - Ismail Sabri

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menuang minyak pelincir ke dalam enjin motosikal milik seorang penduduk kampung di gerai servis motosikal percuma sempena Program 'Preventive Maintenance' Pendawaian Elektrik GiatMara di Dewan Kampung Bohor Baru,Ahad.

BERA: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) melaksanakan Program Pemeriksaan Elektrikal GiatMara bagi memeriksa pendawaian elektrik secara percuma di rumah penduduk kampung.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kementerian itu dimulakan di dua kampung di kawasan  Parlimen Bera iaitu Kampung Bohor Baru dan Kampung Bukit Serdang selama tiga hari bermula Jumaat lepas membabitkan 232 buah rumah.

"Pelajar dan tenaga pengajar GiatMara dalam bidang pendawaian elektrik terlibat dalam program ini untuk membuat pemeriksaan di rumah penduduk kampung tersebut. 

"Kita memperuntukkan maksimum RM1,000 bagi setiap rumah untuk membaiki pendawaian elektrik yang rosak di rumah mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Kampung Bohor Baru, dekat sini, Ahad yang turut dihadiri Pengerusi GiatMara Datuk Azian Osman.

Ismail Sabri yang juga anggota Parlimen Bera berkata selepas pelaksanaan program di kawasan Parlimen Bera, ia akan diteruskan di Machang, Kelantan.

Beliau berkata program itu akan diperluaskan di seluruh negara pada tahun depan dalam usaha membantu penduduk kampung meningkatkan keselamatan daripada aspek pendawaian elektrik agar tidak berlaku kejadian lintas pintas sekali gus kebakaran.

"Program ini dapat membantu penduduk kampung meningkatkan mutu keselamatan di rumah mereka, sebab kemungkinan ada juga yang tidak pernah memeriksa keadaan pendawaian elektrik di rumah mereka," kata Ismail Sabri.

Pada program hari ini, GiatMara turut menyediakan perkhidmatan menukar minyak pelincir (minyak hitam) untuk motosikal penduduk sekitar secara percuma.-- Bernama

Ismail Sabri, GiatMara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain