suria

Buang Sampah Selepas Himpunan, Empat Penyokong Baju Merah Ditahan

PETALING JAYA: Polis menahan empat penyokong Baju Merah pada Ahad kerana didakwa membuang sampah di hadapan pejabat Malaysiakini selepas selesai himpunan diketuai Datuk Seri Jamal Yunos.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata keempat-empat suspek, dua lelaki dan dua wanita ditahan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana tingkah laku yang menghina selepas perhimpunan pada Sabtu.

"Mereka ditahan kerana membuang sampah dalam kuantiti banyak di depan pejabat Malaysiakini.

"Tindakan ini boleh diklasifikasikan sebagai menjejaskan ketenteraman awam," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Fadzil berkata empat suspek itu dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu siasatan.

Pada Sabtu, di sebalik ugutan untuk meruntuhkan pejabat Malaysiakini, Himpunan Gerakan Baju Merah berakhir secara aman berikutan kehadiran polis yang mengawal keadaan.

Laungan 'Hidup Merah' dan 'Tutup Malaysiakini' turut kedengaran ketika penyokong berarak di Jalan Tandang dekat sini.

Keadaan nyaris bertukar tegang apabila salah seorang penyokong membaling botol air ke arah sekatan polis dekat pintu masuk ke pejabat portal berita tersebut.

Namun polis berjaya mengawal keadaan.



Gerakan Baju Merah, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Polis Panggil Syed Saddiq

Artikel Lain