suria

Letupan Stesen Minyak Tiada Unsur Jenayah, Tiada Kaitan Kebakaran HSA - Polis

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan kejadian letupan di sebuah stesen minyak yang mengorbankan seorang pekerja di Taman Mount Austin di sini, tidak mempunyai kaitan dengan sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata kejadian itu juga tiada langsung mempunyai kaitan dengan kebakaran yang berlaku di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pagi ini, yang berlaku hanya selang beberapa jam sebelum itu.

"Tidak ada kaitan, saya sendiri akan pergi ke tempat itu (stesen minyak) selepas ini bagi meninjau keadaan.

"Ini kemungkinan (akibat) kecuaian di pihak sana, kita tidak tahu," katanya kepada pemberita sejurus melawat mangsa-mangsa yang terlibat dalam kebakaran di HSA, petang Selasa.

Wan Ahmad Najmuddin turut meminta orang ramai termasuk pihak media agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kedua-dua insiden berkenaan.

"Tolong hentikan (spekulasi), ia masih dalam siasatan dan kita belum tahu punca sebenar (kedua-dua kejadian)," kata Wan Ahmad Najmuddin.

Dalam kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA pagi ini, enam pesakit iaitu empat wanita dan dua lelaki, maut.

Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di hospital sama.

Dua kakitangan HSA pula dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang lagi petugas dirawat di HSA akibat terhidu asap.

Kejadian letupan di stesen minyak di Taman Mount Austin pula mengorbankan seorang pekerja lelaki berusia 33 tahun.

Letupan dipercayai berpunca daripada tangki penyimpanan gas asli untuk kenderaan (NGV) di stesen berkenaan.


Artikel Lain