suria

Bomba Ambil Sampel Di ICU HSA

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPAM) Johor telah mengambil beberapa sampel daripada wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang terbakar hari ini untuk dianalisis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasinya, Mohd Rizal Buang berkata sampel itu akan dihantar ke makmal forensik secepat mungkin bagi mengetahui punca sebenar kebakaran yang meragut enam nyawa itu.

Katanya analisis sampel dan laporan siasatan paling cepat dapat dilakukan dalam tempoh dua minggu.

"Kami mempunyai pengalaman luas dalam mencari punca kebakaran sebelum ini, malah kita mempunyai makmal forensik bagi memudahkan urusan," katanya kepada pemberita di sini.

Katanya siasatan awal mendapati sistem pemadam kebakaran yang terletak di aras wad itu berfungsi sepenuhnya semasa kejadian.

Beliau juga memberitahu seorang saksi mendakwa melihat api bermula dari bahagian bilik rawatan di wad ICU berkenaan sebelum ia merebak.

"Kita mendapati hampir 80 peratus daripada kawasan wad itu musnah," katanya sambil menambah 10 petugas hospital termasuk seorang pelatih bertugas pada masa kejadian.

Sebilangan daripada mereka sedang sibuk memindahkan pesakit apabila melihat asap tebal dan memaksa bomba memecahkan tingkap untuk memastikan aliran udara, katanya.

Mohd Rizal berkata 166 anggota bomba bersama 10 jentera dari lima balai dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 8.56 pagi.

Operasi tamat sepenuhnya pada 1.30 tengah hari, katanya.
JPAM, kebakaran HSA, sampel

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain