suria

Terengganu Iktiraf Dr Fauziah Sebagai Wanita Besi

KUALA NERUS: Usaha aktivis dan doktor perubatan negara yang mengikuti misi 'Women's Boat To Gaza' baru-baru ini, Dr Fauziah Hassan mendapat pengiktirafan kerajaan Terengganu yang menganugerahkan Tokoh Serikandi Khaulah Al-Azwar kepadanya.

Anugerah yang disampaikan Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman itu turut diiringi dengan wang tunai RM5,000.

Ahmad Razif berkata pihaknya turut bersetuju memberi sumbangan RM50,000 bagi menyokong usaha Dr Fauziah yang merupakan Ahli Lembaga Amanah, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) dan Penasihat Rose To Rose (R2R) yang berjuang membela nasib kanak-kanak dan wanita di seluruh dunia.

"Dr Fauziah merupakan anak kelahiran Terengganu dan kebanggaan kami. Beliau berani mencabar kezaliman...menjadi wakil tunggal Malaysia dan Asia yang sangat berani kerana sanggup mengambil risiko dalam menjayakan misi kemanusiaan ke Gaza," katanya.

Beliau berkata demikian selepas program bual bicara bersama Dr Fauziah: Women's Boat To Gaza: Catatan Pengalaman, di Stadium Tertutup Gong Badak di sini, Ahad.

Ahmad Razif berkata, perjuangan Dr Fauziah mampu membuka mata dan menjadi iktibar kepada orang lain dalam usaha mendesak hak rakyat Palestin.

Mengambil inspirasi apa yang telah dilakukan Dr Fauziah, Ahmad Razif berkata beliau akan turut serta dalam misi kemanusiaan Dr Fauziah ke Kemboja untuk mengkhatankan kanak-kanak Islam yang tidak berkemampuan.

"Saya akan mengetuai rombongan ke Kemboja pada Dis ini bersama pakar-pakar bedah dari Terengganu untuk misi berkhatan anak-anak orang Islam yang miskin di negara itu," katanya.

Sementara itu, Dr Fauziah ketika ditemui berkata beliau bersama rakan-rakannya akan meneruskan misi kemanusiaan ke Gaza selagi kepungan melalui jalan laut ke Gaza tidak disekat

"Kami telah berjanji untuk mengadakan perjumpaan pada 15 Mei tahun depan di Stockholm, Sweden untuk merancang satu lagi misi kemanusiaan ke Gaza," katanya.

-- Bernama
Dr Fauziah Hasan, Terengganu, MyCare

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain