suria

OKU Dalam Kompartmen untuk Tujuan Keselamatan

Datuk Rusnah Kassim (dua, kanan) melihat sendiri kompartmen berpagar yang menempatkan OKU tidur ketika mengadakan lawatan ke Rumah Kebajikan Kanak-Kanak Cacat (RKKC) Batu Gajah pada Isnin. -fotoBERNAMA

BATU GAJAH: Tindakan meletakkan Orang Kurang Upaya (OKU) di dalam kompartmen berpagar di Rumah Kebajikan Kanak-kanak Cacat Perak (RKKC) di sini dilakukan atas tujuan keselamatan penghuni.

Pengerusi RKKC, R. Sivalingam berkata rumah tersebut menempatkan 45 penghuni berumur antara 16 hingga 60 tahun dan daripada jumlah itu, 10 penghuni  menghadapi penyakit mental yang kronik dan perlu ditempatkan di kompartmen berkenaan.

Katanya pihaknya hanya menempatkan OKU berkenaan di dalam kompartmen itu pada waktu tidur iaitu dari pukul 9 malam hingga 6 pagi selain untuk mandi.

"Sekiranya mereka ini dibiarkan tidur bersama penghuni lain, mereka boleh bertindak luar kawalan termasuk memukul atau menggigit penghuni lain.

"Selain itu, mereka tidak dibiarkan begitu sahaja, tetapi tilam serta selimut juga disediakan untuk tidur," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Sivalingam berkata demikian sebagai mengulas viral bergambar bertajuk 'Malaysian Girl Discovers Shocking Scene of Disabled Kids Locked Up In Cages Like Dogs' di RKKC.

Viral itu menunjukkan kanak-kanak tersebut diletak dalam tempat berpagar yang didakwa berbau kencing dan bahan peluntur.

Menjelas lanjut, katanya, tiada seorang pun daripada 10 yang ditempatkan di kompartmen khas berkenaan adalah kanak-kanak, tetapi semuanya orang dewasa berumur antara 20 hingga 40 tahun.

"Mungkin orang yang viralkan itu fikir kanak-kanak kerana OKU ini fizikal mereka kelihatan kecil," katanya sambil melahirkan rasa kecewa.

Sementara itu, Exco Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata pihak yang menyiarkan viral tersebut seharusnya tahu membezakan antara kompartmen dan 'kandang'.

"Ini bukan kadang kerana ia tidak tertutup penuh, tetapi lebih kepada kompartmen untuk keselamatan penghuni," katanya.

Beliau turut meminta masyarakat supaya tidak sesuka hati memviralkan sesuatu perkara sebelum mengetahui kesahihannya kerana ia boleh mencetuskan pelbagai perasaan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri Perak, Rosmahwati Ishak berkata RKKC berjaya mengekalkan rekod pengurusan terbaik sejak ia ditubuhkan pada 1991.

Katanya lesen operasi rumah kebajikan itu juga baru saja dilanjutkan pada 21 Sept lepas untuk tempoh lima tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain