suria

LRA Semenyih Kembali Beroperasi

Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dengan bantuan Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kajang telah membina ban di Sungai Buah bagi mengalih serta mengeluarkan air tercemar daripada sampai ke laluan air Selangor.

SHAH ALAM: Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih yang ditutup semalam akibat pencemaran bau air sungai, kembali beroperasi pada Isnin.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong berkata setakat 1.30 tengah hari tadi, loji itu telah mula menyalurkan air ke kawasan takungan air.

Beliau, bagaimanapun berkata penghantaran air dan pemulihan bekalan air akan berlaku secara berperingkat di kawasan mengalami gangguan bekalan air iaitu Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih serta Rinching di daerah Hulu Langat, manakala Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu serta Telok Panglima Garang di daerah Kuala Langat.

Kawasan lain turut mengalami gangguan bekalan air ialah USJ 1 hingga 27, Puchong, Seri Kembangan serta Serdang di daerah Petaling dan Putrajaya, Cyberjaya, Bandar Nusa Putra, Putra Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong serta Sungai Merab di daerah Sepang.

"Bekalan air bantuan akan dihantar dengan lori tangki ke kawasan terjejas dan premis yang kritikal seperti hospital dan pusat dialisis," katanya dalam kenyataan.

Wong berkata pengguna boleh mendapatkan status terkini dan butiran lanjut mengenai kawasan terjejas serta jadual pemulihan bekalan air melalui aplikasi telefon pintar "mySYABAS" dan www.syabas.com.my.

Dalam pada itu, beliau berkata sejak semalam, Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dengan bantuan Indah Water Konsortium Sdn Bhd, Majlis Perbandaran Sepang dan Majlis Perbandaran Kajang telah membina ban di Sungai Buah bagi mengalih serta mengeluarkan air tercemar daripada sampai ke laluan air Selangor.

"Satu laporan polis juga dibuat oleh Luas di Negeri Sembilan semalam, selain turut memaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan. Sampel di tapak termasuk di longkang dan tanah diambil serta dihantar ke makmal untuk tujuan ujian bagi mengenal pasti jenis bahan cemar yang wujud.

"Kami percaya bahan cemar dibuang secara sengaja di Negeri Sembilan dengan pengetahuan penuh bahawa longkang tersebut menuju ke arah sempadan Selangor dan ke dalam muka sauk LRA Semenyih," katanya.

Semalam, Kumpulan Air Selangor dalam satu kenyataan, berkata LRA itu ditutup pada 7.30 pagi semalam akibat pencemaran bau air sungai disyaki berpunca dari kawasan perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika mengulas mengenai perkara itu mendakwa terdapat unsur sabotaj pihak tertentu sehingga menyebabkan LRA Sungai Semenyih terpaksa ditutup buat kali ketiga dalam tempoh sebulan dan kali kelima tahun ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain