suria

Rakan Mati Tertembak Ketika Buru Babi Hutan

IPOH: Seorang pemburu maut selepas terkena tembakan semasa keluar memburu bersama empat lagi rakannya di kebun kelapa sawit dekat Jalong, Sungai Siput Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira 3 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Oi Boon Woo, 58, dipercayai maut ditempat kejadian selepas terkena tembakan di bahagian kanan dada.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Hasnan Hassan berkata siasatan awal mendapati lima sekawan itu pergi ke ladang kelapa sawit milik persendirian untuk memburu babi hutan.

"Semasa kejadian rakan mangsa yang berusia 65 tahun ternampak babi hutan melintas lalu melepaskan tembakan.

"Semasa mencari haiwan yang ditembak itu, lelaki terbabit ternampak mangsa terbaring dalam keadaan berlumuran darah dan disyaki sudah mati," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Amalan Persekitaran Berkualiti dan latihan Dalam Perkhidmatan Ekosistem Kondusif (EKSA) Peringkat Kontinjen Perak di sini, Jumaat.

Hasnan berkata selepas menyedari mangsa yang juga rakannya itu telah mati, lelaki berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Jalong.

"Susulan itu polis merampas beberapa senjata termasuk senapang patah selain dua motosikal dan sebuah pacuan empat roda serta seekor babi hutan yang sudah mati.

"Polis juga sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Raja Permaisuri Bainun bagi mengetahui punca sebenar kematian," katanya.

Keempat-empat rakan mangsa direman tujuh hari mulai Rabu hingga 25 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

pemburu, maut, babi hutan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Ucapan Bajet 2017 Oleh PM

Artikel Lain