suria

Pesalah Laku Cemar Sumber Air Berdepan Tindakan Tegas - Azmin

Azmin Ali.

SHAH ALAM: Pesalah laku yang ditahan kerana mencemarkan sumber air di Selangor akan dikenakan tindakan yang sewajarnya, kata Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali.

"Kita akan ambil tindakan tegas terhadap mereka kerana mencetuskan masalah kepada rakyat di Selangor.

"Kita tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan terhadap mereka," kata Azmin selepas menghadiri majlis pelancaran rumah warga emas oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di sini Selasa.

Beliau mengulas kenyataan berkaitan pencemaran di Loji Rawatan Air Semenyih baru-baru ini di mana ratusan ribu isi rumah di daerah Hulu Langat, Petaling Jaya, Kuala Langat dan Sepang terjejas bekalan air.

Azmin berkata pelbagai langkah drastik telah diambil beberapa tahun lalu untuk meneliti semula pelbagai aktiviti yang dijalankan dekat tebing sungai.

Katanya, kerajaan negeri membersihkan kawasan itu untuk memastikan tiada kilang industri dibina berdekatan tebing sungai.

"Pendekatan sewajarnya telah diambil dan pada minggu lalu Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Puas), Kumpulan Air Selangor dan Jabatan Alam Sekitar telah memulakan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar disebalik pencemaran itu," kata Azmin.

Loji rawatan air itu ditutup akibat pencemaran sumber air sungai.

Menurut perkembangan terkini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) pada pagi Selasa, status pemulihan terkini mencapai 95.7 peratus.

Malah, Syabas berkata kebanyakan kawasan telah kembali pulih kecuali beberapa kawasan tinggi dan yang berada di penghujung sistem agihan yang masih mengalami gangguan bekalan serta tekanan air rendah.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain