suria

Impian Kanak-Kanak Hidap Leukemia Jadi Bomba Tercapai

KUALA LUMPUR: Impian seorang kanak-kanak perempuan yang disahkan menghidap leukemia myeloid akut (AML) menganggotai Jabatan Bomba dan Penyelamat menjadi kenyataan apabila diberi peluang menyertai pasukan beruniform itu di Balai Bomba dan Penyelamat Hang Tuah.

Lengkap berpakaian seragam anggota penyelamat itu, impian pelajar Sekolah Kebangsaan Menjalara, Harith Maisarah Mohd Rizal, 10, dapat direalisasikan menerusi program 'Make-A-Wish' yang dijalankan badan bukan kerajaan (NGO), Make-A-Wish Malaysia.

Harith Maisarah yang disahkan menghidap penyakit itu sejak Oktober tahun lepas berkata beliau teruja apabila berkesempatan menyarung pakaian seragam itu menimba pengalaman bertugas memadam kebakaran.


"Saya teringin nak jadi bomba sebab boleh selamatkan orang," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, Sabtu.

Ibunya, Suhana Sanuri, 44, berkata beliau bersyukur apabila anak bongsu daripada dua beradik itu diberi peluang menunaikan impiannya selepas sering berangan-angan untuk memadam api dan menyelamatkan orang.

"Program ini membuatkan anak saya lupa yang dia sakit hari ini dan saya menganggap ianya pengalaman bersejarah buah kami sekeluarga," katanya dalam linangan air mata.


Suhana berkata keluarganya hanya mengetahui Harith Maisarah menghidap  leukemia selepas menjalani ujian darah berikutan disyaki demam denggi.

Beliau berkata tahap kesihatan anaknya kini menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani empat kali rawatan kemoterapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, namun masih perlu menjalani rawatan susulan selama setahun setengah.


Sementara itu, Pengarah Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur Khirudin Drahman berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan Make-A-Wish Malaysia dan Garden International School (GIS) bagi menunaikan impian kanak-kanak itu.

Katanya, pada masa yang sama, program itu dapat memberi pendedahan kepada orang awam mengenai kaedah mencegah, mengawal dan memadam kebakaran.

Pada program itu, Harith Maisarah turut menerima kejutan apabila diraikan dalam sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-10. - BERNAMA

Leukemia, Bomba

Artikel Lain