suria

Polis Tak Akan Benarkan Baju Merah - Bersih 5 Bertembung

PUTRAJAYA: Polis tidak akan membenarkan berlakunya konfrontasi antara penunjuk perasaan 'Baju Merah' dan Bersih 5, apabila kedua-dua kumpulan tersebut merancang untuk berhimpun pada 19 November, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Datuk Jamal Mohd Yunos telah memberi amaran bahawa demonstrasi balas akan diadakan oleh kumpulan Baju Merah terhadap perhimpunan Bersih 5.

"Kita tidak akan membenarkan mana-mana konfrontasi seperti itu. Apa pun, kita perlu mengkaji terlebih dahulu permohonan mereka dan mengambil tindakan apabila tiba masanya," kata Khalid.

Beliau juga berkata, di bawah undang-undang Akta Perhimpunan Aman, kedua-dua kumpulan perlu mengemukakan permohonan kepada polis untuk mendapatkan kebenaran bagi mengadakan perhimpunan, 10 hari sebelum perhimpunan diadakan.

"Mereka yang ingin mengadakan perhimpunan dikehendaki mengemukakan permohonan untuk kami proses dan mengambil tindakan yang perlu untuk memastikan keselamatan.

"Polis sepatutnya memudahkan perhimpunan tersebut. Oleh itu, berikan kami 10 hari untuk membantu membuat perancangan terhadap perhimpunan itu supaya ia berjalan tanpa insiden tidak diingini," kata Khalid kepada pemberita.

Khalid berkata, selagi mereka tidak melanggar undang-undang dan Perlembagaan, penganjur akan dibenarkan untuk meneruskan perhimpunan tersebut.

"Tetapi mana-mana perhimpunan yang bercadang untuk menggulingkan kerajaan kita tidak akan benarkan," katanya.

Awal minggu ini, Jamal membuat laporan polis terhadap Ketua Bersih Maria Chin di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi kerana didakwa menghasut rakyat untuk menggulingkan perdana menteri melalui perhimpunan jalanan.

Beliau mengugut untuk mengadakan demonstrasi balas terhadap perhimpunan Bersih 5 pada masa dan tempat yang sama.

Artikel Lain