suria

Polis Perak Turunkan Lebih 1,700 Iklan Ah Long

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt. Lee Ewe Kiang (tiga dari kiri) menunjukkan iklan haram yang ditampal peminjam wang tidak berlesen ketika menyertai operasi bersama Majlis Perbandaran Ipoh pada 20 September 2016. - AGENSI

IPOH: Polis Perak menurunkan 1,720 iklan pemberi pinjaman tanpa lesen atau 'Ah Long' menerusi operasi khas di beberapa kawasan bagi membanteras aktiviti peminjaman wang haram.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak Supt. Lee Ewe Kiang berkata operasi dijalankan di sekitar Ampang, Kampung Tawas, Ipoh Garden dan Kampung Simee itu melibatkan 10 anggota polis dan 15 kakitangan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

"Operasi bermula pukul 9.30 pagi dan berakhir 11.30 tengah hari tadi tertumpu kepada poster iklan Ah Long yang dipasang atau dilekat di pokok, tiang lampu, lampu isyarat dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Beliau berkata pihaknya akan mengesan Ah Long terbabit menerusi nombor telefon yang dipaparkan pada iklan tersebut untuk tindakan lanjut.

"Sukar untuk polis mengambil tindakan ke atas ceti haram ini kerana mereka letak nama samaran di iklan selain menggunakan nama orang lain untuk mendaftar nombor telefon dengan syarikat telekomunikasi," katanya.

Menurut Lee, operasi menanggalkan iklan pinjaman wang haram tersebut giat dijalankan bagi mengelakkan orang ramai terpedaya dengan pinjaman yang ditawarkan.

"Setakat ini, tidak banyak aduan mengenai kes ceti haram ini di Perak.

Bagaimanapun, orang ramai diminta hanya membuat pinjaman mengikut prosedur yang sah," katanya.

Beliau turut menggesa orang ramai membuat laporan polis sekiranya diugut oleh ceti haram bagi mengelak perkara buruk berlaku selain memudahkan polis mengesan pihak tidak bertanggungjawab itu. - BERNAMA

Ah Long

Artikel Lain