suria

Mahkamah Malaysia Bebas Daripada Mana-Mana Pengaruh

Ismail Sabri Yaakob.

TANAH MERAH: Mahkamah di Malaysia adalah bebas daripada pengaruh mana-mana pihak dan keputusan mahkamah memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah telus, kata Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya beliau hairan apabila ada segelintir bekas pimpinan kerajaan yang mahu menuntut pembebasan Anwar sedangkan mereka sebelum ini begitu tegas mempertahankan keputusan mahkamah terhadap bekas ketua pembangkang itu.

"Saya hairan dengan sikap Tan Sri Muhyiddin Yassin (bekas timbalan perdana menteri) kerana sejak daripada dulu sewaktu berada dalam kerajaan, kita semua bersetuju bahawa keputusan terhadap Anwar adalah dibuat oleh mahkamah.

"Kita semua pun mengatakan mahkamah di Malaysia adalah sebuah badan yang bebas tanpa campur tangan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Tanah Merah di sini Jumaat.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Umno bahagian Tanah Merah, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Muhyiddin, yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), sebelum ini dilaporkan sebagai berkata parti itu sudi bekerjasama dengan parti pembangkang lain untuk membebaskan Anwar dan akan mendesak pembebasan itu kerana ia merupakan permintaan orang ramai.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Anwar telah melalui proses perundangan yang telus bermula daripada dipanggil memberi keterangan di mahkamah sehingga rayuan dibuat sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada Jumaat di Hospital Stanford University, San Francisco, Amerika Syarikat akibat komplikasi jantung.

"Pemergian Allahyarham kita boleh sifatkan sebagai kehilangan seorang tokoh agama dalam negara," katanya. - BERNAMA


Artikel Lain