suria

Pereka Menara Jam Mekah Tabur Bakti Latih Anak Tempatan

SHAH ALAM: Seorang rakyat Malaysia yang pernah mencipta nama menerusi rekaan jam yang kini terpampang indah di menara jam Abraj Al-Bait di Mekah, terus menabur bakti apabila mengerah kudrat untuk melatih generasi muda yang terlibat dalam bidang kejuruteraan.

Wan Nazri Wan Aria, 36, menjadi kebanggaan rakyat Malaysia apabila beliau terlibat dalam menghasilkan rekaan pelan pelan tingkat teratas menara jam tersebut.

Jurutera lulusan Universiti Stuttgart di Jerman itu, tidak berfikir panjang untuk menyertai pembinaan menara jam tersebut yang dikenali sebagai Menara Jam Hotel Diraja Mekah apabila syarikat kejuruteraan Jerman, SL-Rasch membuku peluang pekerjaan kepada jurutera.

Menara jam setinggi 601 meter yang terletak berhadapan Masjidil Haram, merupakan yang tertinggi dan terbesar di dunia, tiga kali lebih besar berbanding menara jam di London, Big Ben.

“Peluang untuk menyertai projek ini datang sekali sehaja dalam tempoh beratus-ratus tahun, dan saya terus mengambilnya,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Wan Nazri menyifatkan pengalaman bekerja dengan syarikat Jerman sebagai sangat berharga kerana beliau dapat mempelajari banyak perkara bermanfaat termasuk etika dan cara kerja mereka.

“Mereka tidak pernah ragu-ragu atau berkata "saya fikir'. 

"Semuanya tugas disokong oleh teori dan sebab itu membuatkan mereka sentiasa yakin dengan tugas yang dilaksanakan,” jelas beliau.

Selama lapan tahun terlibat dalam projek itu, beliau terpaksa berulang-alik antara Jerman dan Arab Saudi.

Selepas menara jam itu siap sepenuhnya pada 2011, Wan Nazri mengambil keputusan untuk menjadi seorang pensyarah bidang kejuruteraan bagi membolehkan beliau berkongsi pengalamannya.


Beliau berkata, pelajar di Malaysia dan syarikat kejuruteraan perlu mencapai taraf yang lebih tinggi dan memenuhi kapasiti untuk terlibat dalam satu-satu projek secara keseluruhannya bermula dari awal sehingga akhir termasuk proses melakar model, menganalisis, melaksanakan dan memantau.

Sebagai meneruskan usahanya berkongsi pengalaman dalam bidang kejuruteraan, beliau kini menjadi seorang daripada tenaga pengajar di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Di universiti, mereka belajar setiap subjek dari A sampai Z, seolah-olah seperti memberi peluru kepada pelajar tetapi mereka tidak tahu menembak.

"Mereka tahu tentang teori dan saya mahu mengajar cara untuk memanfaatkan dan menggunakan ilmu tersebut,” kata beliau.

Wan Nazri turut memastikan pensyarat di UMP dan pelajar sentiasa berhubung dengan syarikat kejuruteraan supaya mereka boleh merasai realiti kerjaya itu.

Bagi memastikan usaha tersebut berjalan lancar, Wan Nazri menubuhkan syarikatnya sendiri, Gruppe Consultant sejak tiga tahun lalu dan memiliki lapan orang jurutera.

Syarikat beliau memberikan perkhidmatan rundingan berhubung kejuruteraan teknikal kepada Malaysia Mining Corporation Berhad dan beberapa projek yang lain, termasuk KLIA2, Lapangan Terbang Senai, dan  Loji Janakuasa Arang Batu Tanjung Bin yang terletak di Johor.

Ditanya jika dia mahu terlibat dalam projek besar, Wan Nazri berkata, SL-Rasch telah menghubunginya dengan tawaran projek membesarkan Masjidil Haram.

Namun beliau terpaksa menolak tawaran yang diberikan kerana mahu memberi tumpuan kepada keluarga dan syarikatnya.

Wan Nazri, Menara Jam, Mekah

Artikel Lain