suria

Malaysia Book Of Records Iktiraf Batik Terbesar

JOHOR BAHRU: Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencipta rekod baharu apabila menghasilkan lukisan batik terbesar menggunakan tangan di negara ini, sejajar dengan kempen #AnakAnakMalaysia.

Acara itu melibatkan lebih 600 pelajar Politeknik Ibrahim Sultan yang  berusaha untuk menyiapkan lukisan batik berukuran panjang 25 meter dan lebar 25 meter.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah berkata, usaha tersebut mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records selepas kesemua pelajar menghabiskan masa selama berjam-jam untuk menyiapkan batik itu.

“Kami sangat gembira kerana dapat melihat begitu ramai generasi muda menyertai program ini.

“Program ini bukan sahaja untuk memberikan keseronokan kepada para peserta tetapi turut mempromosikan pemahaman kepelbagaian budaya di negara ini,” kata beliau ketika menghadiri majlis itu Eco Business Park 1 pada Ahad.


Timbalan Pengurus Besar Malaysia Book of Records, Mohamad Alex Edward menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Pengurus Besar Bahagian EcoWorld Selatan, Hoe Mee Ling, sambil disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Abdul Latif Bandi.

Alex turut menghamburkan pujian terhadap inisiatf program #AnakAnak­Malaysia untuk mempromosikan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Kita sangat beruntung kerana menjadi sebahagian daripada Malaysia yang merupakan sebuah negara unik kerana memilik rakyat berbilang kaum dan berlainan budaya.

“Tiada negara lain seperti Malaysia,” kata beliau sambil menyeru lebih banyak syarikat tampil untuk melakukan perkara yang sama.

Lukisan batik ini akan dipamerkan di Eco Business Park 1 bermula 16 sehingga 18 September sempena World Cuisine Karnival yang akan berlangsung pada tempoh sama.

Kempen #AnakAnakMalaysia berlangsung sehingga 16 September ini dan merupakan kolaborasi di antara syarikat hartanah termuka tempatan dan The Star.

Batik, Malaysia Book of Records

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain