suria

Beku Aset Majikan Hanya Jejaskan Ekonomi - PKS

Gambar hiasan.

PETALING JAYA: Tindakan membeku aset majikan yang didapati melindungi atau menggaji pekerja asing tanpa izin (Pati) mendapat bantahan di kalangan industri.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang berkata, langkah itu hanya akan menjejaskan ekonomi.

Menurut Kang, ia akan mengakibatkan banyak perniagaan, terutama PKS menghentikan operasi mereka.

Mengakui kebanyakan PKS menggaji Pati kerana kos penggajian semula pekerja asing terlalu tinggi dan prosedurnya terlalu tegar.

"Pada masa ini, 70 peratus sehingga 80 peratus PKS mempunyai pekerja asing tanpa izin kerana ia adalah terlalu mahal (menyebabkan tidak membuat penggajian semula) dan tiada jaminan bahawa mereka akan dibekalkan dengan pekerja yang sah," katanya.

Kang berkata, penggajian pekerja asing seharusnya dilakukan sistem yang terancang.

Jelasnya, langkah Jabatan Imigresen untuk membeku aset majikan di sektor perindustrian yang menggaji atau melindungi Pati bermula Oktober depan adalah 'tidak wajar'.

Dianggarkan terdapat kira-kira 65,000 PKS di seluruh negara.

Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia, Datuk Seri Saw Choo Boon berkata, pendirian kerajaan berhubung pekerja asing hanya akan menjejaskan industri.

Walaupun ia bertujuan untuk menangani isu Pati, beliau berkata, tindakan itu hanya adil sekiranya industri tidak diberikan syarat ketat untuk mengambil pekerja asing mengikut keperluan tenaga kerja mereka.

"Peraturan dan prosedur untuk menggaji dan lanjutan permit kerja sepatutnya dipermudahkan," kata Saw.

Beliau menggesa kerajaan supaya memperjelaskan mengenai kedudukan berhubung penggajian pekerja asing dengan mengemukakan dasar jangka panjang sewajarnya.

Saw turut memberitahu, program untuk penggajian semula pekerja asing tidak berjaya berikutan prosedurnya yang ketat dan mahal.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), DatukMoehamad Izat Emir berkata, langkah terbaharu Jabatan Imigresen itu boleh menjejaskan aliran tunai, yang memberi kesan dari segi kewangan dalam industri.

"Walaupun saya menyokong tindakan Jabatan Imigresen, namun pada masa sama, ia melibatkan dua pihak. Jika industri berharap Jabatan Imigresen boleh bertimbang rasa, majikan juga perlu bertanggungjawab," katanya.

Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) Tan Sri K. Kenneth Eswaran berkata, kerajaan seharusnya memastikan dasar jangka panjangnya yang tepat berbanding menghukum majikan.

Beliau berkata, banyak perniagaan sudah pun terjejas dengan pembekuan pengambilan pekerja asing awal tahun ini.

Tambahnya, dengan pembekuan aset bagi majikan yang menggaji atau melindungi Pati hanya akan menyukarkan lagi perniagaan mereka.

Pati, Jabatan Imigresen

Artikel Berikut

Artikel Lain