suria

Warga Malaysia Terperangkap Di Bangalore Rayu Bantuan

JOHOR BARU: Beberapa keluarga Malaysia yang terperangkap di Bangalore, India, atas urusan perniagaan atau bercuti, terpaksa berkurung di hotel masing-masing selepas arahan perintah berkurung dikeluarkan ekoran rusuhan krisis air di antara dua negeri di sana.


Mereka diarahkan untuk tidak keluar dari tempat tinggal dan mematuhi arahan perintah berkurung selama tiga hari yang dikuatkuasakan pada Isnin, bermula pukul 4.30 petang.

Ahli perniaggan S.Suresh, 35 yang sedang bercuti bersama keluarganya berkata beliau terperangkap di hotel yang dikawal rapi oleh pengawal bersenjata di lobi hotel.

“Kami masih lagi berkurung di hotel dan sedang membuat perancangan untuk segera meninggalkan bandar ini selepas melihat rusuhan keganasan dan banyak kenderaan dibakar pada Isnin,” tambahnya.


Suresh berkata beberapa rakyat Malaysia lain juga terperangkap di hotel yang sama yang terletak di Rajajinagar itu.

Suresh juga memberitahu bahawa beliau sudah menelefon Konsulat Jeneral Malaysia di Chennai untuk mendapatkan bantuan tetapi diberitahu bahawa pejabat ditutup sempena Hari Raya Haji.

“Malah tidak ada pegawai yang bertugas ketika itu dan tidak ada nombor telefon pihak Kedutaan Malaysia yang kami boleh hubungi mengenai masalah ini.

“Petugas yang menjawab panggilan hanya meminta saya untuk menelefon semula pada keesokan harinya,” jelas Suresh.

Rusuhan berlaku beberapa hari lepas selepas Mahkamah Agung India mengarahkan supaya air dilepaskan ke Tamil Nadu di Bangalore pada 12 September.


Perintah berkurung itu dilaksanakan selepas berlakunya pembakaran berpuluh-puluh bas, trak dan kereta, serta serangan beberapa kedai di Bangalore dan kawasan-kawasan di negeri yang lain.

Karnataka kini sedang berdepan masalah kekurangan air dalam takungan dan sungai kerana negeri itu hanya menerima hujan sub-par di kawasan tadahan, membawa kepada bantahan oleh petani dan pertubuhan-pertubuhan pro-kerajaan yang enggan berkongsi air dengan negeri jiran.
rusuhan Bangalore, krisis air

Artikel Lain