suria

Jemaah Haji Negara Mula Bergerak Ke Arafah Pada Sabtu

Jemaah haji dari seluruh dunia akan melaksanakan rukun haji kedua iaitu wukuf di Arafah yang bermula dari gelincir matahari pada 9 Zulhijjah iaitu apabila masuk waktu Zohor hingga seketika sebelum terbit fajar 10 Zulhijjah. Foto: Bernama

MAKKAH:  Kesemua 22,320 jemaah haji Malaysia akan mula bergerak secara berperingkat ke padang Arafah untuk menjalani ibadat wukuf, yang jatuh pada Ahad (11 Sept) ini.

Para jemaah akan bergerak ke Arafah yang jaraknya kira-kira 25 kilometer dari Masjidil Haram di sini, secara berperingkat.   

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebanyak 22 bas disediakan bagi setiap maktab penginapan jemaah.

Terdapat enam maktab yang terletak di sembilan bangunan iaitu hotel yang dijadikan tempat penginapan semua jemaah di sini.   

Jamil Khir ketika bertemu jemaah di semua maktab sebelum ini mengingatkan mereka mengenai betapa pentingnya menjaga kesihatan masing-masing.

"Ini adalah kemuncak kepada ibadat haji dan memerlukan kekuatan fizikal dan mental," katanya menambah keadaan cuaca yang mencecah lebih 50 darjah Celsius juga menjadi ujian besar kepada para jemaah.

Beliau turut menasihati para jemaah agar menjaga disiplin yang tinggi selain menumpukan kepada ibadat dan mendokan kesejahteraan negara serta keluarga.

Dianggarkan lebih 2 juta umat Islam seluruh dunia akan berhimpun dipadang Arafah untuk berwukuf kelak. Wukuf adalah ritual haji yang dilakukan dengan berada di padang Arafah mulai dari tergelincirnya matahari pada tanggal 9 Zulhijjah sehinggalah terbenamnya matahari pada 10 Zulhijjah iaitu keesokan harinya.

Para jemaah perlu menumpukan kepada ibadat ketika di Arafah yang merupakan salah satu tempat yang dimakbulkan doa oleh Allah SWT.

Jemaah kemudiannya akan melaksanakan mabit di Muzdalifah, Mina dan melakukan lontaran di Jamrat sehingga 13 Zulhijjah.

Seterusnya jemaah akan mlelakukan tawaf dan Saie haji serta bertahalul.   

Sebelum pulang ke tanah air, para jemaah akan melakukan pula tawaf Wada'atau tawaf selamat tinggal yang tentunya meninggalkan seribu kenangan ketika ditanah suci. -Bernama

Jemaah haji Malaysia, Arafah, Wukuf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain