suria

Murid Tahun Satu Dikhuatiri Lemas

DUNGUN: Seorang murid perempuan tahun satu Sekolah Kebangsaan Durian Mas II, dikhuatiri lemas setelah terjatuh ke dalam tali air, petang Khamis.

Mangsa Siti Nor Auni Sufiya Mohd Rosli, 7, dipercayai jatuh pada kedalaman kira-kira satu meter berdekatan rumahnya di Taman Setia, Bandar Al Muktaffi Billah Shah, dekat sini.

Rakan mangsa Nor Fazliyana Mohd Faizal, 8, berkata ketika kejadian Siti Nor Auni Sufiya sedang bermain-main dengannya di tepi tali air tersebut dalam keadaan hujan lebat.

"Saya tengok dia (Siti Nor Auni Sufiya) cuba nak ambil seliparnya yang jatuh ke dalam tali air itu, tapi tiba-tiba dia jatuh...saya cuba nak tolong dia, tapi tak dapat.

"Bila tengok dia jatuh, saya terus berlari beritahu orang yang ada di sekitar kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al-Muktaffi Billah Shah, Jaswari Awang berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 6.18 petang, dan sembilan pegawai serta anggota dikerahkan untuk menjalankan misi pencarian.

"Kita menjalankan pencarian di sekitar longkang, parit dan anak sungai di kawasan sekitar.

"Mangsa dikhuatiri dihanyutkan arus deras kerana sewaktu kejadian hujan lebat sehingga menyebabkan berlaku limpahan air parit dan longkang," katanya.

Artikel Lain