suria

Gigi Emas Milik Warga Emas Dikebas

Gambar hiasan.

SARIKEI: Bukan sahaja buku Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan anting-anting seorang warga emas dikebas, tapi gigi palsu emasnya turut dilarikan.

Perkara itu dilapor dilakukan dua individu di bandar ini Isnin lalu. 

Mawas Etam, 70, dari Bayong, Ulu Sarikei dalam laporannya kepada pihak polis memberitahu beliau pada mulanya didatangi seorang wanita yang tidak dikenali yang kononnya mahu meminjam buku ASB miliknya sebelum wanita tersebut menyerahkan wang bantuan kebajikan kepada waris orang yang sudah meninggal dunia.

Wanita itu menawarkan wang tersebut tetapi warga emas berkenaan enggan menerimanya. 

Mangsa kemudiannya dipaksa masuk ke dalam kereta wanita berkenaan yang dipandu seorang lelaki dan dibawa mengelilingi kawasan bandar.

Semasa berada di dalam kereta tersebut, suspek dikatakan telah mengarahkan mangsa untuk menanggalkan dua batang gigi emas serta anting-anting emasnya yang kemudiannya dimasukkan ke dalam beg bimbit mangsa.

Mangsa kemudiannya diturunkan di satu kawasan sunyi berdekatan Jambatan Nyelong dan ketika mangsa keluar dari kereta itu, suspek merampas beg mangsa dan melarikan diri dengan kereta mereka.

Mangsa turut terjatuh dan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sarikei, DSP Mat Jusoh Muhammad yang mengesahkan kejadian itu pada Rabu berkata, kejadian berkenaan dikategori sebagai kes tipu.

Mangsa dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM550, katanya. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta agar menghubungi Inspektor Sawandi Brahim di talian 084-652222 untuk membantu siasatan. - Bernama

Artikel Lain