suria

Unsur Politik Mungkin Punca Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka Diserang - Polis

PETALING JAYA: Serangan terhadap Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia, Ibrahim Sahib Ansar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Ahad lepas dipercayai bermotifkan unsur politik dan rasa tidak puas hati. 

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, ini berdasarkan kepada 47 laporan polis yang dibuat sebelum itu bagi membantah kehadiran bekas Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa ke negara ini untuk menghadiri Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia.   

Beliau berkata, kesemua laporan itu menjurus kepada bantahan terhadap kehadiran bekas presiden itu selain mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

"Setakat ini lima individu yang disyaki terlibat dalam serangan itu ditahan reman bermula Isnin sehingga esok. Mereka ditahan pasukan khas di rumah masing-masing dengan tiga daripadanya di Sungai Siput, Perak dan dua masing-masing di Rawang dan Dengkil, Selangor. 

"Difahamkan kumpulan yang menyerang mangsa adalah rakyat tempatan yang marah dengan kehadiran bekas Perdana Menteri Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa," katanya kepada pemberita di sini.

Abdul Samah berkata, mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah) Khas 2012 (Sosma).

"Kita juga mengenal pasti empat lagi rakan mereka iaitu warga tempatan yang disyaki terlibat dan gerakan memburu sedang dijalankan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihak polis tidak menerima sebarang maklumat berhubung kehadiran Ibrahim Sahib Ansar di KLIA.

"Polis tidak dapat mengambil sebarang tindakan kerana menyangkakan pergaduhan itu sebagai pergaduhan biasa selain tidak mengetahui yang diserang itu adalah Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka di Malaysia," katanya. 

Serangan itu berlaku kira-kira pukul 3 petang selepas Ibrahim menghantar Menteri Industri Utama Sri Lanka, Daya Gamage.

Ibrahim lebam di muka dan badan dan mendapat rawatan di hospital. - Bernama

Ibrahim Ansar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain