suria

Tiga Warga Asing Ditembak Mati Di Seremban

Ketua Polis Negeri, Datuk Jaafar Mohd Yusof menunjukkan pistol yang dirampas selepas polis menembak mati tiga penjenayah ketika mengadakan sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Negeri Sembilan pada Selasa. Turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri T Narenasagaran (kiri) dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Nor Azman Muhammad (dua, kanan). Foto Bernama

SEREMBAN: Tiga penjenayah warga asing ditembak mati di Jalan Jimah Lama di sini awal pagi Selasa.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, mereka yang berusia lingkungan 40-an ditembak selepas mereka terlebih dahulu menembak anggota Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri kira-kira 3.30 pagi.

"Anggota D9 yang melakukan rondaan di Jalan Jimah Lama-Mambau pada mulanya terserempak dengan sebuah kereta Proton Perdana dalam keadaan yang mencurigakan.

"Pihak polis telah mengarahkan kenderaan tersebut agar berhenti, namun pemandunya telah memecut kereta itu menyebabkan pihak polis terpaksa memintas kereta tersebut.

"Ia menyebabkan kereta itu terbabas dan melanggar tebing jalan. Pemandunya lalu keluar dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah pasukan polis sementara  dua lagi rakannya juga keluar dari kereta dan cuba menyerang anggota polis dengan parang.

"Demi mempertahankan diri, anggota polis telah melepaskan tembakan. Ketiga-tiganya kemudiannya ditemui mati," katanya dalam sidang media.

Pihak polis turut menemukan dalam kereta itu antara lain sepucuk pistol jenis Glock, empat parang panjang, pemutar skru, pemotong dawai, enam plat kenderaan, lima utas rantai, 18 gelang tangan, 14 kerongsang dan satu loket emas.

Jaafar berkata, kereta yang dinaiki suspek dilaporkan hilang di Klang, Selangor pada tahun 2014 dan siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek terlibat dengan empat kes samun dan pecah rumah, masing-masing dua kes di Senawang dan Nilai selain beberapa kes lagi di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain