suria

Jawatankuasa Khas Kaji Keperluan Akta Baharu Tangani Jenayah Seksual

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Bertindak Jenayah Seksual akan membuat kajian berhubung keperluan mewujudkan undang-undang baharu yang lebih khusus bagi menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keperluan undang-undang itu berikutan senario semasa jenayah membabitkan kanak-kanak selain halangan untuk sabitan seperti beban bukti yang perlu ditanggung oleh mereka.

"Terdapat beberapa senario yang baru berlaku seperti dalam kes Richard Huckle di mana kanak-kanak menjadi umpan kepada jenayah seksual melalui sistem online

"Selain daripada itu, tidak banyak sabitan yang berlaku kerana beban bukti yang dibawa oleh kanak-kanak mempunyai pelbagai cabaran terutamanya dalam keterangan bersama," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama jawatankuasa itu di sini pada Selasa.

Katanya, kajian mengenai undang-undang itu juga akan mengenal pasti sama ada kanak-kanak perlu diberikan beban bukti yang berbeza kerana usia mereka berbanding jenayah biasa melibatkan orang dewasa.

Azalina berkata, terdapat situasi di mana kes membabitkan jenayah seksual kanak-kanak diklasifikasikan sebagai jenayah biasa dan atas faktor bukti dan saksi, ia mungkin memakan masa yang lama untuk diselesaikan.

"Kanak-kanak pun sudah dewasa dan kadang-kadang mereka pun malu untuk memberi keterangan ataupun mungkin mereka lupa," katanya.

Azalina berkata, selain daripada undang-undang baharu, jawatankuasa itu turut mengkaji keperluan mewujudkan mahkamah khas yang terdiri daripada hakim dan pendakwa raya yang pakar untuk mengendalikan kes jenayah seksual kanak-kanak.

Selain itu, katanya, jawatankuasa itu juga akan mengkaji mengenai keperluan mewujudkan pengkhususan pasukan pakar mengenai elemen jenayah seksual kanak-kanak di agensi-agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia.

Katanya, semua kajian itu dijangka diselesaikan selepas dua minggu sebelum dibentangkan ke kabinet untuk perbincangan lanjut.

Artikel Berikut

Artikel Lain

Intan Najuwa hamil anak kedua