suria

Mahkamah Tolak Permohonan Semakan Kehakiman Kes Buku Irshad Manji

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi pada Selasa menolak  permohonan semakan kehakiman oleh syarikat penerbitan ZI Publications Sdn Bhd dan Pengarahnya Mohd Ezra Mohd Zaid bagi mencabar keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) daripada menyerbu dan merampas buku terjemahan Irshad Manji bertajuk 'Allah, Kebebasan dan Cinta'.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas membenarkan bantahan awal pihak responden iaitu JAIS, Ketua Pengarahnya, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Selangor, Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Kerajaan Selangor dan Kerajaan Malaysia yang diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Selangor Naziah Mokhtar.

Peguam Fahri Azzat yang mewakili ZI Publications dan Mohd Ezra ketika dihubungi berkata, hakim dalam penghakimannya bersetuju dengan bantahan awal bahawa kes berkenaan telah diputuskan melalui persoalan undang-undang di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata hakim tidak bersetuju dengan hujahan daripada pihaknya (ZI  Publications dan Mohd Ezra) iaitu apa yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan tidak menyelesaikan permohonan semakan kehakiman itu.

Pada 28 September 2015, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa peruntukan  undang-undang syariah negeri Selangor yang menetapkan bagi orang Islam menerbitkan dan mengedarkan buku agama yang bercanggah dengan undang-undang Islam merupakan perbuatan jenayah adalah sah.

Mahkamah Persekutuan juga menetapkan bahawa Dewan Undangan Negeri Selangor  mempunyai bidang kuasa untuk mengesahkan Seksyen 16, Enakmen Jenayah Syariah 1995 kerana ia merupakan satu kesalahan dalam ajaran Islam.

Panel lima hakim itu juga telah menolak petisyen yang dikemukakan oleh  pemohon untuk mencabar kesahihan Seksyen 16 enakmen berkenaan berikutan Mohd Ezra, 33, didakwa di bawah seksyen itu di Mahkamah Syariah.

Syarikat Penerbitan ZI Publications dan Mohd Ezra Mohd Zaid memfailkan  permohonan semakan kehakiman itu pada 9 Julai 2012.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan pegawai JAIS yang menggeledah, merampas dan menyita 180 buku pada 29 Mei 2012 di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga memohon agar semua buku setebal 388 muka surat yang disita itu dikembalikan.

Selain itu, kedua-dua pihak itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan tangkapan bertarikh 29 Mei 2012 dan pendakwaan oleh JAIS terhadap Mohd Ezra.

Mereka turut memohon satu pengisytiharan bahawa Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 berhubung penyiasatan terhadap Mohd Ezra adalah terbatal dan tidak sah memandangkan ia tidak konsisten dengan Artikel 10(1)(a) dan 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

(Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan adalah berkaitan dengan soal kebebasan bercakap, berhimpun, berpersatuan, mengeluarkan pendapat/bersuara).

Artikel Sebelum

Artikel Lain