suria

Rayani Air Optimis Terbang Semula Awal Tahun Depan

PETALING JAYA: Pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran optimis syarikat penerbangan itu akan memulakan semula operasinya pada pada awal 2017.

Bercakap kepada mStar Online pada Isnin, beliau menjelaskan tempoh itu dianggap bersesuaian untuk membuat persediaan berkaitan operasi termasuk proses permohonan semula lesen baharu.

Ravi mendakwa, pihaknya telah mempunyai rakan niaga baharu yang kini berpangkalan di Singapura.

Tambahnya, peringkat awal persediaan itu adalah membuat bayaran balik tiket pelanggan dan melunaskan tunggakan gaji pekerja, selain memohon lesen baharu.

"Syarikat di Singapura itu kini sedang menguruskan hal berkaitan bayaran balik tiket penerbangan dengan para pelanggan.

"Di pihak saya hanya memberi data pelanggan dan mereka yang mengendalikan urusan pembayaran itu nanti," katanya sambil menambah ia dijangka dibuat seawal-awalnya pertengahan September ini.

Beliau berkata demikian bagi mengesahkan mengenai persoalan yang dibangkitkan ramai pelanggan Rayani Air yang mula dihubungi pihak yang mendakwa mewakili 'rakan baharu' kepada syarikat penerbangan itu bagi proses bayaran balik tiket.

Mengenai gaji pekerja, Ravi berkata, bayaran itu juga akan dilunaskan bagi tunggakan sehingga ia digantung operasi pada 11 April lalu.

"Pihak di Singapura akan melaksanakannya satu-persatu melibatkan bayaran kepada pelanggan diikuti pekerja, dijangka bermula pertengahan September," katanya.

Ditanya mengenai rakan niaga baharu, Ravi menjelaskan bahawa pihak berkenaan menghimpunkan pakar-pakar antarabangsa dalam bidang penerbangan.

"Kebanyakan kakitangan masih lagi di kalangan rakyat tempatan untuk berkhidmat dengam Rayani Air termasuk pekerja-pekerja kami sebelum ini," katanya.

Tambah Ravi, satu pengumuman berkaitan dengan rakan niaga baharu dijangka dibuat pada September ini.

Sabtu lalu, Ravi memuat naik 'posting' di akaun Facebook Rayani Air bahawa syarikat penerbangan itu dijangka beroperasi pada 2017.

"Kita akan terbang tidak lama lagi menjelang 2017. Terima kasih di atas sokongan kepada Rayani Air. Tidak kira apa juga yang berlaku, kita akan ke udara. Terbang tinggi dengan warna hijau dan biru," menurut posting yang turut dikongsi di akaun Facebook milik Ravi.

Dalam pada itu, Ravi mengulangi pendiriannya yang berharap agar kerajaan dan pihak berkuasa berkaitan iaitu Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) memberi jaminan kelulusan permohonan lesen apabila pihaknya dapat membuktikan Rayani Air mempunyai keupayaan untuk kembali beroperasi.

Awal bulan ini, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi menasihatkan Rayani Air supaya mengemukakan permohonan baharu kepada DCA dan Mavcom jika ia berhasrat beroperasi semula.

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom pula turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itumelanggar syarat yang ditetapkan di dalam ASL tersebut serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

Rayani Air, Mavcom

Artikel Lain