suria

Suami Isteri Terkejut Pisang Berbuah Di Batang Reput

Sebatang pokok pisang yang ditebang dua bulan lalu dan telah reput mengeluarkan setandan pisang kecil di bahagian batangnya. Kejadian pelik itu menarik perhatian kakitangan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Hilir Perak, Shahrudin Nasir, 53 dan isterinya Azimah Ibrahim, 36, kerana pokok pisang yang hanya tinggal batang setinggi hampir satu meter itu telah mati dan tidak ada tanda-tanda untuk hidup. -fotoBERNAMA
TELUK INTAN: Sepasang suami isteri di Kampung Sungai Lampam dekat sini terkejut apabila pokok pisang yang ditebang dua bulan lalu dan telah reput mengeluarkan setandan pisang kecil di bahagian batangnya.

Shahrudin Nasir, 53, kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Hilir Perak berkata pokok pisang yang sudah mati itu terletak di belakang rumah pusaka keluarganya dan hanya tinggal batang setinggi hampir satu meter.

Beliau dan isteri, Azimah Ibrahim, 36, nyata terkejut dengan kejadian aneh tersebut apabila pokok yang telah mati itu berputik sebelum menjadi setandan pisang.

Shahrudin berkata kejadian pelik itu disedari oleh isterinya ketika mereka berdua sedang membersihkan laman belakang rumah pusaka keluarganya pada pukul 6.30 petang Khamis.

Menetap di Pekan Langkap, tidak jauh dari sini, beliau dan isterinya sering menjenguk ke rumah pusaka keluarganya bagi membersihkan kediaman itu kerana ibunya yang uzur masih tinggal di rumah itu ditemani seorang kakaknya.

"Pokok-pokok pisang di belakang rumah ini dulunya emak saya yang tanam. Tapi disebabkan sudah mula nampak semak, banyak pokok pisang ditebang semasa pertengahan bulan Ramadan lalu.

"Namun tidak sangka lah pula semasa kami sibuk membersihkan kawasan itu petang semalam, isteri saya menyedari ada kelainan pada batang pokok mati dan mendapati ada setandan kecil pisang berkemungkinan pisang abu," katanya kepada pemberita ketika dibawa ke rumah pusaka keluarganya.

Menurutnya perkara itu merupakan kali pertama dilihatnya dan adalah mustahil pisang boleh berbuah memandangkan pokok itu sudah mati.

"Kejadian ini amat pelik dan ia mungkin juga rezeki kami untuk melihat kekuasaan Allah," katanya yang hendak melihat bagaimana kesudahannya pokok pisang yang ketika ini mengeluarkan empat sisir pisang.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain