suria

Tolak Perbezaan Demi Rakyat - Najib

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak (dua,kanan) melihat model LRT3 pada pelancarannya di Stadium Malawati Rabu. Turut hadir (dari kanan) Pengerusi Kumpulan Prasarana Tan Sri Ismail Adam, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai (empat,kanan). -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kerjasama yang baik kerajaan Selangor pimpinan pembangkang mampu memastikan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) mampu disiapkan mengikut jadual.

Menurut Perdana Menteri, sehingga kini kerajaan Selangor yang diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.

"Saya mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama kerajaan Selangor bagi menjayakan projek ini.

"Walaupun kita boleh berbeza dalam hal-hal lain, tapi untuk kepentingan rakyat, we must deliver. Ingatlah bahawa rakyat mesti didahulukan," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin yang membanjiri Stadium Malawati di sini.

Beliau berucap pada majlis pelancaran LRT3 yang turut dihadiri Azmin dan exconya, Datuk Teng Chang Khim.

Projek LRT3 yang akan bermula awal 2017 bakal memberi manfaat dan menghubungkan lebih dua juta penduduk di bandar-bandar utama seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang.

Ia dijangka siap pada 31 Ogos 2017 dengan kos yang dihadkan iaitu RM9 bilion.

Selain itu, Najib mengingatkan Prasarana Malaysia Berhad iaitu syarikat yang bertanggungjawab menyiapkan LRT3 supaya tidak mengabaikan kualiti dan standard keselamatan yang ditetapkan.

"Saya difahamkan bahawa teknologi baharu akan digunakan iaitu 'U-Trough' iaitu penambahbaikan daripada sistem konvensional yang biasa digunakan dalam negara kita.

"Ia lebih ringkas dan dijangka dapat mempercepatkan proses dan masa perlaksanaannya.

"Apa yang saya nak tekankan bahawa LRT3 ini mesti mencecah standard 'pembinaan kelas dunia'," katanya.


Perdana Menteri, LRT3, Prasarana

Artikel Lain