suria

Polis Tumpas 'Geng Remy' Curi Motosikal

SHAH ALAM: Pihak polis menumpaskan satu sindiket mencuri motosikal melibatkan kerugian kira-kira RM60,000 selepas menahan empat anggota 'Geng Remy' minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Shafien Mamat berkata kesemua suspek berumur lingkungan 32 hingga 47 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini antara 17 Ogos dan 19 Ogos lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati mereka terlibat dalam sekurang-kurangnya 21 kes curi motosikal di sekitar sini dan Klang.

"Sindiket ini mencuri motosikal jenis Yamaha RXZ dan Honda EX5 kerana kedua-dua motosikal ini mendapat pasaran baik," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam Rabu.

Katanya polis turut merampas peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal seperti pemutar skru dan playar selain berjaya menemukan rangka motosikal, alat ganti motosikal serta peralatan yang digunakan untuk menghapuskan nombor enjin dan casis.

Shafien berkata kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, jenayah dan mencuri motosikal dan mereka kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, beliau berkata polis menahan tiga lelaki berumur lingkungan 17 hingga 41 tahun yang dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah dan samun.

Katanya kesemua suspek ditahan antara 9 Ogos dan 17 Ogos lepas di Brickfields dan Jalan Kuchai Lama di Kuala Lumpur serta Shah Alam.

Beliau berkata dengan penahanan itu pihaknya berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah dan samun di sekitar sini dan Subang Jaya yang membabitkan kerugian kira-kira RM67,000.

Artikel Lain