suria

Pamer Plat Palsu, Operator Pengeluaran Didenda RM5,500

KUALA LUMPUR: Seorang operator pengeluaran didenda RM5,500 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Trafik di sini, pada Khamis kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal miliknya.

Majistret Noorul Fhaiez Mohd Nayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Norshahizat Yazid, 19, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mempamerkan nombor pendaftaran bukan kepunyaan kenderaan dinaikinya di Jalan Tunku Abdul Rahman, di sini, pada 11 malam, 17 Julai lepas.

Dia didakwa di bawah Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara tidak lebih lima tahun.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Trafik Inspektor Hashimah Hashim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dikenakan denda ringan dengan alasan dia perlu bekerja bagi membantu keluarga.

Mengikut fakta kes, sepasukan polis dalam Ops Cegah Jenayah telah menahan sebuah motosikal dalam keadaan mencurigakan.

Selepas semakan dilakukan melalui Alat Aplikasi Pintar (EMMS) mendapati nombor asal motosikal itu ialah WMT4310 manakala nombor pendaftaran yang digunakan WTM4310 adalah palsu dan didaftarkan atas sebuah kereta.

Artikel Lain