suria

MB Terengganu Tak Tahu, Mohon Maaf Permohonan Azizulhasni Diabaikan

Ahmad Razif
KUALA NERUS: "Saya tidak tahu mengenai permohonan Azizulhasni Awang mendapatkan tajaan basikal 'Roadbike' sebagai persediaan ke Olimpik," tegas Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abd Rahman.

Sambil meluahkan rasa terkilan, Ahmad Razif menyatakan beliau telah mengarahkan Majlis Sukan Negeri membuat siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dan akan menghubungi jaguh berbasikal trek negara itu bagi mendapatkan penjelasan.

Malah Ahmad Razif mengambil pendekatan positif dengan memohon maaf kepada Azizulhasni sekiranya luahan kekecewaannya di laman sosial Facebook itu benar-benar berlaku.

"Saya pun tidak tahu cerita ini...saya tidak dapat pengesahan lagi mengenai cerita ini. Saya minta Majlis Sukan Negeri di bawah Exco Belia, Sukan dan Sumber Manusia Datuk Rozi Mamat Rozi untuk buat siasatan dan melihat semula perkara ini.

"Jadi saya tidak boleh komen apa-apa sehingga kita betul-betul mendapat pengesahan dan kita akan buat tindakan apa yang sewajarnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra bersama bakal haji Dewan Undangan Negeri  Kuala Nerus, Rabu.

Menerusi laman sosial Facebook, Azizulhasni yang memenangi pingat gangsa acara keirin Sukan Olimpik Rio awal pagi tadi, meluahkan kekecewaannya terhadap Ahmad Razif yang dikatakan tidak melayan permohonannya membeli 'RoadBike' untuk digunakan sebagai persiapan ke Sukan Olimpik.

Malah, katanya, Ahmad Razif hanya membisu apabila dihubungi pengurusnya.

Ketika ditanya sama ada beliau pernah menerima apa-apa permohonan daripada Azizulhasni, Ahmad Razif berkata sehingga kini perkara tersebut tiada dalam pengetahuannya.

"Tiada dalam pengetahuan saya..,terlepas pandang atau apa, wallahuallam. Setakat hari ini saya tidak tahu menahu mengenai hal ini, yang kedua saya tak kenal siapa pengurus Azizulhasni ini.


"Jadi yang ini saya tak boleh nak ulas...kita kena dapatkan pengesahan dulu apa sebenarnya cerita ini. Kalau betul perkara ini berlaku, saya rasa amat terkilan.

"Jika ia berlaku saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf. Kita sedia maklum negeri ini memang amat bersungguh dalam sukan," katanya.

Tegas Ahmad Razif, jika diambil kira daripada sudut insentif, kerajaan negeri sentiasa memberi pelbagai imbuhan termasuk tanah dan peruntukan tertentu serta menjadikan sukan berbasikal antara sukan terpenting.

Selain itu, Ahmad Razif berkata walau pelbagai persepsi yang timbul, beliau telah merangka sambutan besar-besaran untuk menyambut kepulangan Azizulhasni yang juga atlet kelahiran Dungun.

"Kerajaan negeri sudah buat persediaan bila dia balik ke Terengganu nanti,  kita akan sambut dan insyaAllah kita akan buat roadshow untuk berkongsi pengalaman beliau dan memberi semangat kepada atlet muda kita," katanya.

Beliau turut menyatakan Azizulhasni akan menerima insentif namun ia akan diumumkan kemudian.

Artikel Lain